Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memberkas 13 pegawai majlis tempatan dan 239 lagi dari agensi-agensi lain tahun lalu kerana rasuah.

Pengarah Penyelidikan dan Perancangan Badan Percegah Rasuah (BPR) Sutinah Sutan berkata bilangan pegawai majlis tempatan yang ditahan menunjukkan sedikit pertambahan, berbanding 10 pegawai pada 2002.

Dalam ceramahnya di Bengkel Kebangsaan "Mencegah Rasuah Dalam Pemerolehan Awam: Pembinaan Keupayaan dan Rangkaian bagi Masyarakat Sivil dan Kerajaan Tempatan" di Petaling Jaya hari ini, beliau berkata, bagi agensi kerajaan pula, jumlahnya juga meningkat kepada 239 tahun lalu, berbanding 170 pegawai pada 2002.

Manakala bilangan aduan yang diterima oleh BPR mengenai kes rasuah juga meningkat daripada 8,298 pada 2002 kepada 11,292 kes tahun lalu.

Menurut laporan Bernama, Sutinah berkata, rakyat Malaysia mudah membuat kesimpulan mengenai rasuah akibat persepsi yang salah.

"Orang ramai selalu menyangka rasuah berlaku apabila terdapat kurang ketelusan, tindakan tidak diambil, wujud kelewatan atau kerenah, tidak responsif kepada aduan atau gaya hidup mewah," katanya.

Menurutnya lagi, para pegawai muda yang kurang diselia mudah terdedah kepada amalan rasuah.

Isnin lalu, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, memberitahu bengkel tersebut, para pegawai pihak berkuasa tempatan lebih terdedah kepada perbuatan salahlaku melibatkan wang.