Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Siti Zailah akan kunjung menteri agama isu pakaian patuh syariah

Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata beliau akan cuba merealisasikan pelaksanaan polisi menutup aurat buat pramugari.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan membuat kunjungan hormat ke pejabat menteri agama , Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi membincangkan mengenai polisi yang pernah dicadangkan dan diperjuangkan PAS dalam Dewan Rakyat ketika mereka menjadi pembangkang.

“Jadi insya-Allah dengan kerajaan yang ada ini saya akan membuat kunjung hormat dalam masa terdekat ke pejabat menteri agama, dan saya yakin perkara ini pun dah ada dalam agenda mereka.

“Sebab kita perlu kepada pindaan undang-undang, terutamanya Akta Kerja jika melibatkan kakitangan yang bekerja, supaya polisi patuh syariah itu dilaksanakan dalam pentadbiran negara kita.

“Untuk orang Islam sahaja, bagi orang bukan Islam, berpakaian sopan, kita tak paksa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal pemberita selepas menyampaikan makanan kepada golongan memerlukan di hadapan Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur hari ini.

Zailah yang merupakan anggota Parlimen Rantau Panjang itu pernah beberapa kali membangkitkan agar polisi yang membolehkan anak kapal menutup aurat dapat diwajibkan ke atas semua syarikat penerbangan.

Malah, dia turut menggesa polisi itu dapat dilaksanakan di semua sektor swasta supaya pakaian seragam pekerja dapat menutup aurat sebagaimana disyariatkan oleh Islam.

Mengulas lanjut, kata Zailah, menutup aurat adalah perintah dan kewajipan yang di dalam Islam.

Jelasnya buat kesekian kali, ada pramugari yang mengadu kepadanya bahawa mereka pun tidak selesa dengan pakaian yang singkat dan ketat, malah katanya, semua masyarakt memang tidak bersetuju dengan pakaian seragam pramugari yang mencolok mata.

Malah, ketika ditanya adakah beliau akan turut membuat kunjungan hormat ke pejabat menteri belia dan sukan bagi membincangkan tentang pakaian patuh syariat untuk atlet yang turut diperjuangkannya PAS sebelum ini, katanya, hal itu akan dibincangkan.

“Ya. Kita akan bincang dengan pihak kementerian (wanita dan keluarga).

“Sebab kami baru tiga hari dalam kerajaan. Banyak benda yang kita dah susun dengan YB (menteri). Nanti saya akan (bincang) bersama dengan YB menteri,” katanya.

Lihat Komen
ADS