Notis muflis exco Sgor: Keputusan bantahan awal 31 Mei ini
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 31 Mei ini untuk keputusan bantahan awal seorang ahli perniagaan wanita terhadap permohonan ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Abd Rahman Palil untuk mengenepikan penghakiman ingkar yang diterimanya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 31 Mei ini untuk keputusan bantahan awal seorang ahli perniagaan wanita terhadap permohonan ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Abd Rahman Palil untuk mengenepikan penghakiman ingkar yang diterimanya.
Penolong Kanan Pendaftar Ho Kwong Chin menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan bantahan awal ahli perniagaan itu, Zarinah Abu Bakar berhubung kandungan afidavit untuk mengenepikan penghakiman ingkar yang dikemukakan Abd Rahman.
Hujahan bantahan awal itu dilakukan dalam kamar. Abd Rahman menfailkan permohonan untuk mengenepikan penghakiman ingkar itu pada 6 April lalu.
Menurut laporan Bernama, pada 8 Mac lalu, notis kebankrapan diserahkan kepada Abd Rahman berhubung pembayaran wang sebanyak RM311,295.35 kepada bekas pengarah syarikat Agmal Development Sdn Bhd (Agmal), Zarinah.
Notis itu dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, selepas Zarinah memperolehi penghakiman ingkar daripada Mahkamah Tinggi sini (Kuala Lumpur) terhadap Abd Rahman pada 20 Februari lalu.
Penghakiman ingkar itu dibuat oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Marutin Anak Pagan yang memerintahkan Abd Rahman membayar RM311,295.35 sebagai gantirugi khas dan kos RM285 kepada Zarinah.
Tuntut gantirugi
Ini berikutan tiada pernyataan pembelaan difailkan oleh Abd Rahman yang dinamakan sebagai defendan dalam saman yang dikemukakan oleh Zarinah pada 21 Disember tahun lalu.
Zarinah, 36, menfailkan writ saman terhadap Abd Rahman bagi menuntut gantirugi RM311,295.35 kerana didakwa memungkiri perjanjian berhubung penjualan syarikat asal miliknya, Agmal setelah dikurniakan sebidang tanah bernilai lebih RM9 juta, 11 tahun lalu.
Menurut pernyataan tuntutan itu, Zarinah selaku plaintif, menyatakan bahawa sehingga akhir tahun 1994, beliau merupakan pemegang saham terbesar dalam syarikat Agmal.
Zarinah mendakwa pada tahun 1994, Abd Rahman menghantar dua wakilnya termasuk seorang pegawai Pejabat Tanah Daerah Petaling bagi berbincang menggunakan syarikat itu dalam satu permohonan mendapatkan sebidang tanah daripada Kerajaan Negeri Selangor.
Zarinah mendakwa, beliau (Zarinah), Abd Rahman dan dua wakilnya bersetuju dengan empat terma antaranya ialah Zarinah akan memberikan 60 peratus saham syarikat itu kepada Abd Rahman, 20 peratus kepada wakilnya dan 10 peratus kepada isteri pegawai pejabat tanah itu.
Permohonan diluluskan
Zarinah mendakwa, beliau juga akan mendapat saham sebanyak 10 peratus daripada nilai tanah yang diperolehi.
Zarinah mendakwa, Pejabat Tanah Daerah Petaling kemudian meluluskan permohonan itu dan mengurniakan sebidang tanah seluas 11.3 hektar di Sungai Buloh yang bernilai RM9,147,600 pada waktu itu.
Bagaimanapun dakwa beliau, bagi mengelakkan cukai, Abd Rahman memutuskan untuk tidak menjual tanah itu sebaliknya menjual semua saham syarikat Agmal kepada syarikat Aras Bumi Sdn Bhd dengan harga RM2 juta pada Oktober 1995.
Zarinah mendakwa beliau menerima bayaran pertama sebanyak RM18,295 daripada sahamnya dan 12 bayaran lagi secara berperingkat-peringkat mulai tahun 1995 hingga tahun lalu.
Beliau mendakwa Abd Rahman sehingga kini masih berhutang sebanyak RM311,295.53 kepadanya.
Berikutan itu, Zarinah mendakwa Abd Rahman gagal menunaikan janji sehingga menyebabkannya mengalami kesengsaraan, tekanan jiwa dan mental.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.