Terjemahan Calon SUPP yang tewas di kerusi Padungan, Lily Yong berkata, parti itu tetap berdiri teguh di belakang Presidennya, Datuk Dr George Chan (foto) dan tiada sebab mengapa ada pemimpin yang harus meletak jawatan berikutan kekalahan teruk parti itu dalam pilihanraya negeri Sarawak Sabtu lalu.

"Jawatankuasa pusat parti telah menyerahkan tanggungjawab memilih calon kepada sebuah jawatankuasa tujuh anggota. Ianya adalah tanggungjawab bersama," katanya kepada pemberita mengenai desas-desus yang mengatakan ahli-ahli SUPP mahu pucuk pimpinannya bertanggungjawab terhadap kekalahan itu.

SUPP, salah sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak, bertanding di 19 kawasan dan kalah lapan daripadanya enam kepada DAP, dan masing-masing satu kepada PKR dan SNAP.

Yong berkata, adalah tidak adil bagi meletakkan tanggungjawab bagi kekalahan tersebut di atas bahu mana-mana pemimpin parti tersebut.

Sebaliknya, kata Yong, parti tersebut perlu menilai semula kekuatannya dan kelemahannya serta bekerja keras untuk memenangi keyakinan rakyat terhadapnya.

"Dalam politik sentiasa ada naik-turunnya. Ianya bukan perkara baru," tambahnya.

Malah, katanya, SUPP pernah mengalami kekalahan sebelum ini (kekalahan calon SUPP bagi kerusi Parlimen Bandar Kuching di tangan DAP pada 2004).

Dengan kejayaan pembangkang di Padungan, Pending, Batu Lintang dan Kota Sentosa dalam pilihanraya negeri Sabtu lalu dan Parlimen Bandar Kuching pada pilihanraya umum 2004, maka ibu negeri Sarawak itu kini dikuasai pihak pembangkang.

Kecuali kerusi Padungan yang dimenangi calon PKR, kesemua kawasan lain, kecuali Batu Kawah di pinggir bandar, kini dikuasai calon DAP.

Menurut Yong lagi, beliau tidak pasti apa akan terjadi dengan rancangannya sebelum ini, termasuk rancangan pembinaan pasar baru di Padungan untuk kebaikan bandar Kuching, kerana beliau tidak lagi mewakili kawasan tersebut.

Yong bertemu Mafrel

Sementara itu, Pengerusi Badan Pemantau Pilihanraya Adil dan Bebas Malaysia (Mafrel), Abdul Malek Hussin, dengan ditemani beberapa pegawai Mafrel, mengadakan pertemuan dengan Yong di pejabat SUPP Kuching.

Pertemuan itu adalah susulan kepada beberapa tuduhan yang dilaporkan dibuat oleh Yong, termasuk ada nama pengundi dalam senarai pemilih di Padungan, dikatakan telah dipindahkan ke kawasan lain tanpa pengetahuan mereka.

Yong juga mengadu kepada Mafrel mengenai ketidakberkesanan sistem semakan berkomputer di tempat pengundian,,walaupun sebelum itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mengumumkan bahawa 41 dewan undangan negeri (termasuk Padungan) dilengkapkan dengan kemudahan tersebut.

Aduan lain termasuklah jumlah stesen dan mukim pengundian yang bertambah walaupun jumlah pengundi berdaftar telah berkurangan.

"Mafrel akan menyiasat semua ini," kata Abdul Malek, sambil menambah, Mafrel akan menyediakan senarai nama pemilih terbabit dan membawa perkara itu kepada SPR. Berita asal