Kadar bayaran elektrik naik mulai 1 Jun
Kadar bayaran elektrik akan dinaikkan berkuatkuasa 1 Jun ini, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.
Kadar bayaran elektrik akan dinaikkan berkuatkuasa 1 Jun ini, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.
Menurutnya, kadar bayaran elektrik itu akan dinaikkan pada purata 12 peratus.
Dr Lim berkata, golongan berpendapat rendah tidak akan terjejas teruk kerana kadar bayarannya dibuat berdasarkan kepada jumlah penggunaan elektrik.
Menurutnya, Majoriti pengguna seramai kira-kira tiga juta keluarga, menggunakan kurang daripada 300 kilowat. Bil mereka dijangka antara RM 44 dan RM 70 sebulan.
Dr Lim berkata, isi rumah berpendapatan rendah yang menggunakan 200 kilowatt-jam (kWh) elektrik sebulan, tidak akan terjejas dengan kenaikan itu.
Katanya, kadar sedia ada 21.8 sen setiap kWh bagi pelanggan berkenaan kekal tidak berubah.
Mengenai kira-kira satu juta isi rumah atau 18 peratus pengguna yang menggunakan antara 201 dan 300kWh elektrik sebulan dengan bil elektrik antara RM44 dan RM70 akan hanya mengalami kenaikan bulanan minimal antara tiga sen dan RM3.10.
Bercakap dalam sidang media di Putrajaya, Dr Lim berkata kerajaan juga memperkenalkan tarif pertanian spesifik untuk membantu dan memodenkan aktiviti seperti penternakan ayam dan haiwan, penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan dan penternakan ikan.
Tarif baru itu adalah lebih rendah daripada tarif komersil yang sektor pertanian sebelum ini diklasifikasikan di bawahnya.
Jana pendapat 1.5 bilion
Menurut laporan Bernama, Dr Lim berkata tarif khas perindustrian akan dikekalkan bagi pelanggan perindustrian yang penggunaan elektrik mewakili lima peratus atau lebih bagi kos operasi mereka.
TNB juga akan terus memberikan diskaun kepada sekolah-sekolah kerajaan, institusi pendidikan tinggi kerajaan, rumah kebajikan dan tempat ibadat, katanya.
Beliau berkata struktur tarif baru akan meningkatkan pendapatan tahunan TNB sebanyak RM1.5 bilion.
Pendapatan tambahan itu akan meletakkan TNB dalam kedudukan kewangan yang lebih baik untuk melabur semula dalam infrastruktur sedia adanya dari 2006-2010 bagi membolehkannya meningkatkan kebolehpercayaan dan kualiti bekalan dalam bidang utama seperti penjanaan, penyaluran dan pengagihan, katanya.
TNB dijangka melabur anggaran RM40 bilion untuk menaik taraf dan memperbaiki sistem bekalan elektrik dalam tempoh lima tahun akan datang.
Dr Lim berkata kenaikan tarif, yang diluluskan pada mesyuarat Kabinet pagi ini "selepas perbincangan terperinci" diguna pakai untuk Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata kenaikan itu, yang pertama sejak 1997, diputuskan selepas pertimbangan sepenuhnya akan kesan cadangan TNB bagi struktur tarif baru ke atas majoriti penduduk Malaysia.
Dalam meluluskan cadangan itu, beliau berkata kerajaan telah mengambil kira kenaikan kos dan keperluan TNB untuk melabur semula dalam peralatan bekalan berikutan peningkatan permintaan dan perubahan persekitaran sosial Malaysia.
TNB telah mencadangkan kenaikan 20 peratus pada kadar tarif sedia ada bagi semua kategori pengguna dalam sektor kediaman, komersil dan perindustrian.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.