Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PM umum 4 langkah perkukuh pakej rangsangan ekonomi
Diterbitkan:  Mar 16, 2020 5:58 PM
Dikemaskini: Mar 17, 2020 9:45 AM

Mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan empat langkah tambahan bagi memperkukuhkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020.

Ini termasuk bantuan kewangan bagi membantu pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, diskaun caj elektrik, pembayaran awal Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pelaksanaan projek-projek kecil PRE2020 yang berjumlah RM20 bilion.

Katanya, bagi pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, bantuan kewangan sebanyak RM600 setiap bulan akan diberikan untuk tempoh maksimum enam bulan.

“Layak untuk pekerja yang diberi notis tanpa gaji mulai 1 Mac 2020; dan pencarum Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) dengan gaji tidak melebihi RM4,000 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin mengumumkan program berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM120 juta dengan seramai 33,000 pekerja disasarkan menerima faedah tersebut.

Selain itu, perdana menteri bekata mengambil kira penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan impak yang lebih meluas, kerajaan sekarang memutuskan untuk memberi diskaun caj elektrik kepada semua pengguna.

“Kerajaan sekarang memutuskan untuk memberi diskaun 2 peratus bagi semua pengguna lain dalam sektor komersial, perindustrian dan pertanian serta pengguna domestik bermula 1 April hingga 30 September tahun ini.

“Langkah diskaun 2 peratus ini dijangka melibatkan anggaran peruntukan RM500 juta dan akan dimanfaatkan oleh lebih daripada 10 juta isi rumah dan pengguna komersial, industri serta pertanian,” katanya.

Sebelum ini, dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE2020) pada 27 Februari lalu, kerajaan mengumumkan kategori perniagaan yang terjejas berikutan Covid-19 terutamanya sektor pelancongan akan menerima diskaun 15 peratus untuk tempoh enam bulan.

Menurut Muhyiddin, pembayaran awal BSH sebanyak RM200 yang memanfaatkan seramai 3.8 juta isi rumah telah diawalkan pada 16 Mac lalu berbanding daripada tarikh asal yang sepatutnya pada Mei.

“Bayaran tambahan sebanyak RM100 seperti mana yang telah diumumkan dalam PRE2020 akan dibayar pada bulan Mei 2020 dan ini akan memanfaatkan lima juta penerima BSH,” katanya.

Beliau juga mengumumkan pelaksanaan projek-projek kecil PRE2020 berjumlah RM2 bilion yang akan memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur luar bandar dan akan dilaksanakan oleh kontraktor-kontraktor Bumiputera kecil.

Lihat Komen
ADS