Pendidikan mengenai hak asasi manusia mungkin akan di perkenalkan di institut pengajian tinggi awam (IPTA) bagi mengujudkan budaya hak asasi dalam masyarakat kampus, menurut seorang pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Prof Datuk Hamdan Adnan berkata penerapan matapelajaran baru itu telah dibincangkan semasa pertemuan antara Suhakam dengan pihak naib canselor universiti dua hari lalu.

"Kita (Suhakam dan universiti) berbincang bagaimana untuk menyelitkan pendidikan hak asasi manusia di universiti, sama ada ia akan diterapkan melalui pendidikan di fakulti undang-undang atau fakulti pendidikan," katanya yang dihubungi malaysiakini pagi tadi.

"Bagaimanapun apa yang lebih penting ialah dengan memperkenalkan pendidikan itu, konsep menghormati hak asasi manusia dapat dijadikan sebagai satu cara hidup dalam masyarakat IPT," tambahnya.

Enam wakil naib canselor universiti awam dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa hadir dalam perjumpaan dengan semua pesuruhjaya badan itu.

Wakil naib canselor yang hadir adalah daripada Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Teknologi Mara, Universiti Sains Malaysia, Universiti Pertanian Malaysia dan Universiti Kebangsaan.

Menurut Hamdan, kandungan pendidikan hak asasi itu termasuklah mengenai sistem perlembagaan dan tatacara (prosedur) hak asasi.

Tambah beliau lagi, pertemuan dengan pihak universiti turut membincangkan mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Mesra pelajar

Katanya perbincangan itu merujuk mengenai bagaimana akta tersebut boleh dipinda untuk menjadikannya lebih "mesra pelajar dan sesuai dengan suasana akademik semasa".

Hamdan berkata pertemuan itu turut membincangkan mengenai memorandum oleh pelajar mengenai pencabulan hak asasi yang diterima oleh badan asasi itu.

Suhakam sebelum ini menerima memorandum dan aduan daripada beberapa kumpulan pelajar berkaitan pencabulan hak asasi mereka. Antaranya daripada Persatuan Bahasa Tionghua USM, tujuh pelajar yang digantung pengajian kerana menyertai perhimpunan haram dan bantahan terhadap Auku.

"Melalui perbincangan, kita (Suhakam) berharap lebih keadilan kepada pelajar diberikan kerana Suhakam berpandangan universiti berperanan sebagai tempat mendidik dan bukannya tempat menghukum," katanya.

Tambah Hamdan, perjumpaan secara khusus dengan universiti terbabit akan diadakan bagi tinjauan dan kajian semula mengenai apa yang dikemukakan melalui memorandum tersebut.

Menurutnya pertemuan dua pihak itu telah berjalan lancar serta mendapat maklum balas yang baik daripada pihak universiti dan tidak menolak kemungkinan untuk mengadakannya lagi.