Trump dakwa Covid-19 sebagai ‘virus China’
Tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump merujuk pandemik Covid-19 yang sedang menular di seluruh dunia itu sebagai ‘virus China’ menimbulkan kemarahan pelbagai pihak termasuk di negaranya sendiri.
“AS akan memberi sokongan kuat kepada industri seperti syarikat penerbangan dan lain-lain yang terkesan dengan virus China,” ciap Trump, malam semalam.
Menurut laporan AFP, pengkritik membidas tindakan Trump yang disifatkan berbaur perkauman itu dan berpotensi mendorong serangan terhadap masyarakat Asia-Amerika.
Antara yang membidasnya adalah Datuk Bandar New York, Bill de Blasio. New York adalah antara negeri paling terkesan dengan pandemik Covid-19 di AS.
“Masyarakat Asia-Amerika kita - orang yang kamu berkhidmat - sudahpun menderita.
“Mereka tidak memerlukan kamu menyemarakkan lagi ketaasuban,” ciap de Blasio.
Perbalahan berkenaan tercetus pada hari sama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa kini ada lebih banyak kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 dilaporkan di serata dunia berbanding di China, tempat virus itu mula-mula dikesan, tahun lalu.
Sebelum ini, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo juga berulang kali merujuk Covid-19 sebagai ‘virus Wuhan’ meskipun pihak profesional kesihatan menasihatkan bahawa label sedemikian boleh meninggalkan stigma.

