Kenaikan 12 peratus dalam tarif elektrik berpatutan dan 60 peratus daripada isirumah akan dikecualikan daripada membayar kenaikan caj itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurutnya, kerajaan sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat dan kerana itulah dalam mesyuarat-mesyuaratnya yang terdahulu, kabinet meminta Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyerahkan formula yang disemak semula.

Di bawah formula semakan semula itu yang memasukkan kenaikan 12 peratus, lebih ramai isirumah berpendapatan rendah dikecualikan daripada membayar caj tinggi.

Apabila ditanya bagaimana reaksi rakyat kelak kepada kenaikan tarif kuasa itu, Abdullah berkata, kaji selidik menunjukkan kebanyakan mereka sudah menjangka kenaikan tersebut cuma tidak tahu bila atau berapa banyak.

"Kerajaan tidak mahu membebankan lagi rakyat selepas kenaikan terbaru harga minyak," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Tokyo hari ini.

Kata sepakat

Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata, dalam menentukan peratus kenaikan itu, kerajaan mengambil kira kepentingan semua pihak terutama rakyat, TNB serta penjana kuasa bebas (IPP).

Abdullah berkata beliau juga mengarahkan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik untuk terus mengadakan perbincangan dengan TNB dan IPP bagi mendapatkan kata sepakat dalam mengurangkan bebanan TNB.

Katanya, kerajaan sedar perjanjian TNB dengan IPP ialah secara berkontrak tetapi mereka perlu terus berbincang untuk mendapatkan satu penyelesaian yang baik.

"Kerajaan tidak boleh mengambil sebarang tindakan satu pihak sahaja dalam perkara ini (berkaitan IPP)....Kerajaan faham," katanya.