Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengusaha katering, juruhebah kenduri akur batal tempahan

"Saya terpaksa batalkan tempahan katering untuk 30 kenduri selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan, semalam," luah seorang pengusaha katering, Zuraida Ilyana Hussein, 39.

Menurutnya, sejak malam tadi pelanggan menghubunginya untuk membatalkan tempahan.

"Pada masa sama, saya turut memaklumkan pelanggan supaya membatalkan majlis bagi mengelak sebarang masalah berlaku, walaupun terpaksa menanggung kerugian.

"Sepatutnya bermula esok hingga Sabtu ini, sekurang-kurangnya empat majlis setiap hari kami kendalikan. Namun, demi keselamatan kami terpaksa akur.

"Barang keperluan semunya sudah dibeli, namun saya sudah memaklumkan segala kerugian akan ditanggung oleh kami dan wang deposit pelanggan akan diberikan semula," katanya yang menjalankan perniagaan itu sejak 10 tahun lalu.

Semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai Rabu (18 Mac hingga 31 Mac 2020), di seluruh negara susulan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Katanya, perintah kawalan pergerakan ini membabitkan pertamanya larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Sebagai rekod sebarang majlis kenduri kahwin, tahlil dan sebagainya adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh perintah kawalan berkuat kuasa.

Menurut peruntukan Seksyen 11(4) Akta 342 itu dibaca bersama dengan Seksyen 24(a) Akta yang sama menjadikan keingkaran larangan yang akan berkuatkuasa mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 adalah satu kesalahan jenayah.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 2 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Muhammad Fadzli Saud.

Sementara itu bagi seorang juruhebah kenduri, Muhammad Fadzli Saud berkata, tempahan dan jemputan juruhebah yang ditempah pelanggan turut terkesan apabila majlis kenduri dibatalkan.

"Sepanjang musim cuti sekolah ini sepatutnya ada beberapa tempahan saya terima.

"Tetapi disebabkan situasi semasa ini, saya terpaksa akur dan tempahan dibatalkan.

"Apapun, saya menganggap apa yang berlaku ada hikmahnya dan mungkin ada rezeki lain untuk saya dan keluarga," katanya.

Zuraida Abdullah, 56, dari Pasir Mas pula berkata, majlis kenduri perkahwinan anaknya pada Sabtu ini terpaksa dibatalkan.

"Sejak pagi tadi saya mula menghubungi saudara mara, pihak katering dan pelamin untuk menangguhkan majlis. Alhamdulillah semua pihak memahami.

"Sejak semalam, pihak pelamin sudah menghantar barang dan dijangka pasang hari ini. Namun disebabkan majlis batal, mereka akan datang mengambil semula barangan berkenaan," katanya.

Berdasarkan kemas kini terbaru jawapan bagi soalan lazim mengenai Perintah Kawalan Pergerakan yang disediakan Majlis Keselamatan Negara hari ini, sebarang majlis resepsi adalah adalah tidak dibenarkan.

Senarai soalan lazim itu sebelum ini sekadar menyatakan bahawa upacara pernikahan boleh dilaksanakan dengan tidak melibatkan kehadiran ramai dan bagi majlis persandingan dan resepsi "disarankan" untuk ditangguhkan.

Lihat Komen
ADS