Malaysia kini berada pada fasa pembendungan akhir (late containment) dalam usaha menangani penularan Covid-19, sebelum masuk ke fasa terakhir iaitu fasa mitigas.

Buat mereka yang tertanya-tanya tentang fasa mitigasi, semalam, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Badrul Hisham Abd Samad memberikan bayangan bagaimana fasa mitigasi mungkin dilaksanakan.

Dia mengambil contoh fasa mitigasi yang pernah diisytiharkan di Malaysia ketika penularan wabak influenza yang disebabkan virus H1N1 pada tahun 2009, apabila jangkitan berleluasa dan hospital tidak lagi dapat menampung jumlah kes yang tinggi.

Katanya pada ketika itu, apabila berada dalam fasa mitigasi, pengesanan agresif dan ekstensif terhadap mereka yang disyaki (PUI) tidak lagi dilakukan, termasuk saringan di pintu-pintu masuk antarabangsa.

Sebaliknya, tumpuan dan sumber pada ketika itu diberikan kepada mereka yang berisiko tinggi, seperti pesakit kronik paru-paru, buah pinggang dan sebagainya.

“Apabila mereka hadir ke fasiliti perkhidmatan dengan gejala-gejala H1N1 pada masa itu, kita masukkan ke hospital dan kita rawat dengan antivirus Tamiflu.

“Jadi saya melihat ada kemungkinan situasi yang lebih kurang sama akan berlaku sekiranya kita pergi ke fasa mitigasi, maknanya usaha-usaha agresif di lapangan oleh petugas kesihatan akan diturunkan kapasitinya, tapi kita akan memberi tumpuan kepada mereka yang bersiko tinggi,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung Selamat Pagi Malaysia di RTM pagi semalam.

Mitigasi ialah fasa akhir, dalam empat peringkat fasa menangani wabak, selepas fasa amaran (alert phase), pembendungan awal (early containment) dan pembendungan akhir (late containment).

Influenza A (H1N1) ialah penyakit berjangkit yang disebabkan virus yang terhasil daripada mutasi genetik virus influenzi babi, burung dan manusia.

Mula dikesan di Mexico dan Amerika Syarikat pada April 2009, ia dikesan menular ke Malaysia pada Mei 2009 sebelum negara mengiytiharkan fasa mitigasi pada Julai 2009. Di Malaysia, Influenza A (H1N1) ketika itu meragut 78 nyawa.

Menurut Dr Badrul Hisham, untuk Covid-19 pula, golongan berisiko yang dikenal pasti mengalami komplikasi yang teruk adalah antaranya mereka yang berusia lanjut, pesakit kardiovaskular, pesakit kencing manis dan pesakit darah tinggi.

Rawatan yang akan diberikan pula, kemungkinan termasuk penggunaan antivirus Kaletra yang digunakan untuk merawat pesakit HIV yang didapati menunjukkan kesan baik kepada pesakit yang mengalami komplikasi yang agak terus untuk Covid-19, selain rawatan sokongan lain.

Bagaimanapun, Dr Badrul Hisham positif negara mampu menangani Covid-19, memandangkan yang statistik di China yang menunjukkan 80 peratus pesakit adalah di tahap ringan, manakala lebih 50 peratus pula sembuh sepenuhnya.

“Ini memberi petanda yang baik bahawa kebanyakan daripada mereka yang dijangkiti adalah di tahap yang ringan, dan insya-Allah mereka akan pulih sepenuhnya.

“Jadi itu memberi keyakinan kepada kita bahawa dengan usaha bersama semua pihak, bukan saja KKM tetapi semua agensi, pihak swasta dan rakyat Malaysia seluruhnya, insya-Allah kita yakin kita berjaya menangani Covid-19 ini dengan baik,” katanya lagi.

Malam semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkuatkuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac depan bagi menangani Covid-19.

Perintah itu diambil kerajaan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344) dan "tertakhluk kepada perkembangan semasa bagi semua warga negara dan bukan warga negara yang berada di Malaysia."

Setakat semalam, sebanyak 553 kes positif dicatatkan.