Hindu Sangam gesa tutup semua kuil Hindu
Malaysia Hindu Sangam (MHS) hari ini menggesa menutup semua tempat ibadat agama Hindu di seluruh negara susulan perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac ini.
Presidennya RS Mohan Shan berkata keputusan itu sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan wabak Covid-19.
"Dalam tempoh ini, sebarang upacara di kuil termasuk kumbhabisegham (majlis penyucian), perayaan tahunan, sembahyang khas, majlis perkahwinan semuanya perlu ditangguhkan.
"Bagaimanapun, pihak kuil dibenarkan membuat sembahyang harian dengan penganut tidak dibenarkan turut serta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac.
Perintah itu antara lain menyatakan premis kerajaan dan swasta - kecuali perkhidmatan penting - ditutup, perarakan dan perhimpunan ramai dilarang, dan rakyat Malaysia tidak boleh ke luar negara.
Mohan berkata bahawa langkah ini penting bagi mencegah penyebaran Covid-19, serta menghormati keputusan kerajaan mengambil kira keselamatan dan kesihatan orang ramai.
Perintah kawalan pergerakan ini dikuatkuasakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

