Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: Sabah keluarkan perintah sekatan imigresen
Diterbitkan:  Mar 17, 2020 8:50 PM
Dikemaskini: 1:47 PM

Penduduk bukan asal Sabah yang ingin memasuki negeri itu perlu mendapat kebenaran khas daripada kerajaan negeri.

Mereka juga perlu mengemukakan sijil perubatan yang menyatakan bebas daripada wabak koronavirus Covid-19.

Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal berkata, penduduk bukan Sabah yang tidak memenuhi syarat itu tidak akan dibenarkan masuk ke negeri itu.

"Kemasukan penduduk yang bukan berasal dari negeri Sabah melalui pintu masuk udara, laut dan darat adalah tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan khas daripada kerajaan negeri dan mempunyai pengesahan kesihatan yang membuktikan individu tersebut bebas daripada wabak Covid-19," kata Shafie dalam satu kenyataan hari ini.

Ini merupakan syarat kemasukan paling ketat yang ditetapkan antara negeri di Malaysia.

Sarawak sebelum ini mewajibkan semua yang tiba ke negeri itu termasuk rakyat Sarawak sendiri, menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari selepas ketibaan mereka.

Menurut Kementerian Kesihatan, terdapat sebanyak 673 kes jangkitan Covid-19 di seluruh negara sehingga hari ini.

Sabah mencatatkan sebanyak 57 kes, selepas Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

Lihat Komen
ADS