Wisma Putra sedang mencari jalan penyelesaian bagi membantu rakyat Malaysia yang kini terkandas di India, kata menteri luar negeri, Hishammuddin Hussein.

Beliau menafikan Wisma Putra tidak membenarkan mereka pulang, sebaliknya perkara itu di luar bidang kuasa kerajaan dan bergantung kepada budi kerajaan India.

"Saya ambil maklum ramai rakyat Malaysia terkandas dan hadapi masalah untuk dapatkan penerbangan pulang dari India susulan keputusan Kerajaan India berkaitan Covid-19.

"Sebuah video yang tular di Media Sosial menunjukkan seorang pegawai daripada pihak berkuasa India mengatakan ini keputusan Kerajaan Malaysia adalah tidak benar," katanya dalam satu posting Facebook sebentar tadi.

Menurut Hishammuddin, pasukan khas Covid19 yang diwujudkan Wisma Putra sedang meneliti usaha bagi membantu mereka yang ingin pulang ke Malaysia.

"Kepimpinan tertinggi Malaysian Indian Congress (MIC) juga telah menghubungi saya dan berikrar untuk bantu secara langsung - insyaAllah ada jalan penyelesaian," tambahnya.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini bahawa lebih 100 rakyat Malaysia masih terkandas di beberapa lapangan terbang di India selepas penerbangan mereka dibatalkan.

Semalam, dalam satu klip video menunjukkan lebih 60 rakyat Malaysia di India yang terkandas sejak 13 Mac di Tamil Nadu bertindak menyerbu Lapangan Terbang Tiruchirappalli selepas dikatakan tidak puas hati dengan layanan pihak penguatkuasa lapangan terbang.

Mereka didapati melakukan bantahan dengan duduk di pintu masuk lapangan terbang selepas syarikat penerbangan menggantung penerbangan ke Kuala Lumpur akibat penularan wabak Covid-19.

"Kami 10 orang sepatutnya pergi esok. Tetapi, kenapa mereka batalkan (penerbangan) sekarang?" Soal salah seorang individu dalam video tersebut.

Bagaimanapun, seorang pegawai dari lapangan terbang itu mendakwa pihaknya tidak tahu berkenaan pembatalan penerbangan kerana keputusan diambil  kerajaan Malaysia.

Menafikan perkara itu, Hishammuddin berkata, di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, rakyat Malaysia yang berada di luar negara dibenarkan pulang ke tanah air.

"Mereka hanya dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (self quarantine) selama 14 hari selepas pulang.

"Diharapkan mereka yang terkandas bertenang.

"Walaupun ini di luar bidang kuasa kita kerana perlu bergantung kepada budi bicara Kerajaan luar untuk memberi kebenaran kepada rakyat kita pulang, Wisma Putra akan bantu yang terdaya. Kita telah berhubung dengan Perwakilan Malaysia di sana," katanya.

MIC mula bantu rakyat Malaysia terkandas

Sementara itu, Presiden MIC SA Vigneswaran berkata MIC mula menghubungi rakyat Malaysia yang terkandas di India untuk memberikan bantuan seperti penginapan dan makanan.

"Umumnya di India, rakyat kita terkandas di tiga lapangan terbang iaitu di New Delhi, Chennai dan Thiruchi. Saya diberitahu bahawa penerbangan khas disediakan untuk membawa balik pegawai kerajaan Malaysia dari sana, Ia juga membawa balik rakyat Malaysia yang terkandas sebanyak yang boleh," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya lagi, kerajaan juga sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan AirAsia dan Malindo Air untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas.

"MIC akan membantu dari segi kewangan. Kami juga telah menghubungi ahli politik dan pihak (di India) yang sudah kami kenali sekian lama untuk menyediakan bantuan dari segi penginapan, makanan dan lain-lain sementara warga Malaysia menunggu untuk balik," katanya.

Laporan tambahan oleh B Nantha Kumar