Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: Rakyat M'sia terkandas di India, serbu lapangan terbang

Lebih 60 rakyat Malaysia di India yang terkandas sejak 13 Mac di Tamil Nadu telah bertindak menyerbu Lapangan Terbang Tiruchirappalli selepas dikatakan tidak puas hati dengan layanan pihak penguatkuasa lapangan terbang.

Dalam satu klip video yang ditularkan sejak petang tadi, mendapati mereka melakukan bantahan dengan duduk di pintu masuk lapangan terbang selepas syarikat penerbangan menggantung penerbangan ke Kuala Lumpur akibat penularan wabak Covid-19.

"Kami 10 orang sepatutnya pergi esok. Tetapi, kenapa mereka batalkan (penerbangan) sekarang?" Soal salah seorang individu dalam video tersebut.

Bagaimanapun, seorang pegawai dari lapanagan terbang itu memberi maklum balas bahawa pihaknya tidak tahu berkenaan pembatalan penerbangan kerana keputusan diambil oleh di kerajaan Malaysia.

Pegawai tersebut turut meminta sekumpulan warga Malaysia itu supaya menangani perkara berkenaan melalui saluran yang betul iaitu menerusi Kedutaan Malaysia sambil berjanji akan menyediakan satu perjumpaan dengan pihak yang bertanggungjawab.

Bagaimanapun, pihak yang tidak berpuas hati dengan jawapan itu menimbulkan persoalan:

"Di mana kami nak tinggal sehingga tempoh itu?

"Kami tidak ada duit, (tiada) apa-apa pun.

"Hotel di sini tidak memberi bilik untuk kami untuk menginap."

Sementara itu, salah seorang yang menyertai bantahan itu berkata ada di kalangan mereka terkandas sejak 13 Mac lalu dan memberitahu bahawa tidak mempunyai sebarang saudara mara di sini.

Dihubungi kemudian, seorang rakyat Malaysia yang kini berada di Chennai, yang mahu dikenali sebagai Gunalan mengesahkan penerbangannya ke Kuala Lumpur pada awal pagi Khamis dibatalkan.

Lebih mengejutkan lagi, Gunalan berkata syarikat penerbangan melalui laman web memaklumkan jadual penerbangan semula mereka hanya akan diketahui selepas 31 Mac.

"Kami lebih kurang 30 hingga 40 orang terkandas di sini (Chennai). Dan mendapati ada rakyat Malaysia terkandas di Thiruchirapalli juga di New Delhi.

"Tiada alasan yang kukuh diberikan untuk pembatalan penerbangan. Ada yang kata penerbangan dibatalkan kerana pengumuman perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia.

"Ada yang kata penerbangan dibatalkan kerana kematian dua orang di Malaysia hari ini," katanya kepada Malaysiakini.

Malaysia mencatatkan dua kematian pertama berkaitan wabak Covid-19 semalam, melibatkan seorang paderi Kristian, 60 tahun di Kuching, Sarawak, dan seorang pemuda, 34 tahun di Johor Bahru yang terlibat menyertai perhimpunan Tabligh di Sri Petaling baru-baru ini.

Menurut Gunalan, ada di kalangan rakyat Malaysia yang terkandas di India sejak tiga hari, tidak mempunyai duit yang cukup.

"Mereka juga tidak diberi hotel untuk bermalam. Situasinya sangat rumit di sini.

"Esok, kami akan ke kedutaan Malaysia untuk meminta bantuan," katanya lagi.

Untuk rekod, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac.

Antara langkah yang diambil, warga Malaysia dilarang ke luar negara manakala mereka yang pulang dari luar negara perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela.

Lihat Komen
ADS