Pemuda Umno mahu TNB lakukan pengstrukturan dalaman
Selaras dengan kenaikan tarif elektrik, Pemuda Umno berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga perlu juga membuat pengstrukturan dalaman bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
Selaras dengan kenaikan tarif elektrik, Pemuda Umno berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga perlu juga membuat pengstrukturan dalaman bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
"TNB perlu berusaha untuk membaiki prestasi kewangan, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti mereka," kata Setiausaha Pemuda Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Bagaimanapun, katanya, kenaikan tarif elektrik dilihat tidak akan membebankan golongan berpendapat rendah dan sederhana kerana seperti yang diumumkan, 60 peratus daripada isirumah akan dikecualikan daripada membayar kenaikan caj itu.
"Kita faham kenapa kenaikan itu dibuat iaitu kerana sudah lama ia tidak dibuat, sejak kenaikan pertama pada 1997," katanya ketika dihubungi Bernama.
Sebaliknya, Penasihat Fomca Prof Datuk Hamdan Adnan pula berkata sebarang kenaikan tarif tenaga sudah tentu akan membebankan rakyat, oleh itu keputusan yang dibuat perlulah munasabah.
"Kita berpegang kepada janji kerajaan bahawa tiada sebarang kesan akan dialami rakyat dengan kenaikan tarif itu.
Mesra pelanggan
"Penggunaan yang semakin meningkat terhadap tenaga elektrik tidak dapat dielakkan di kalangan pengguna biasa," katanya.
Hamdan juga mengalu-alukan langkah TNB yang akan terus memberikan diskaun kepada sekolah-sekolah kerajaan, institusi pendidikan tinggi kerajaan, rumah kebajikan dan tempat ibadat.
Selain perlu meningkatkan teknologi menjana tenaga oleh TNB, kerajaan katanya, juga perlu menyegerakan langkah mempelbagaikan sumber tenaga negara, termasuk penggunaan tenaga alternatif lain seperti biodiesel dan tenaga suria.
Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam, Noornirwan Mat Noordin pula berkata kenaikan tarif itu pasti akan membebankan pengguna biasa yang mempunyai bilangan isi rumah yang besar.
Beliau berkata dengan kenaikan tarif itu, TNB perlu juga meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.
Selain itu, diharapkan TNB perlu lebih mesra pengguna dan menggunakan budi bicara sebelum memotong bekalan tenaga terhadap pengguna yang mempunyai bayaran bil tertunggak, katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.