Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas, Johor, Osman Sapian mengesahkan berlakunya kegiatan mencuri anak balak berhampiran Hospital Permai, Tampoi tetapi menafikan dakwaan pihak tertentu yang menuduh aktiviti itu didalangi oleh Umno.

Katanya, perkara ini berlaku di tanah milik Kementerian Kesihatan seluas 60 ekar, bersebelahan tapak hospital berkenaan.

"Kawasan itu dicerobohi dengan mudah kerana ia tidak dikawal dan tidak berpagar," ujarnya sambil menyatakan isu tersebut telah dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor beberapa bulan lalu.

Anak balak ialah istilah bagi pokok-pokok bernilai tinggi yang belum cukup matang untuk ditebang kerana saiz yang masih kecil tetap tetap laku untuk dijual dan diproses menjadi kayu dan papan bergergaji atau sebagai kayu pagar.

Osman berkata, beliau difahamkan Kementerian Kesihatan tidak mempunyai peruntukan untuk memagar kawasan berkenaan. Difahamkan kos untuk memagar seluruh kawasan seluas 60 ekar itu sebanyak RM7 juta.

Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan pihak tertentu yang menuduh aktiviti mencuri anak balak itu didalangi oleh Umno atau pihak yang ada hubung kait dengan mereka.

"Jika ada ahli Umno yang mencuri kayu tersebut, ini tidak bermakna Umno yang mencuri balak itu kerana ia dilakukan oleh individu dan bukannya Umno,"katanya.

Katanya, kawasan 60 ekar itu adalah sebahagian daripada kawasan seluas 90 ekar yang diperuntukkan sebagai tapak projek Hospital Permai yang baru. Setakat ini baru 30 ekar daripadanya dimajukan.

Osman menjelaskan, selain dipenuhi hutan., kawasan tersebut juga mengandungi tempat pembuangan sampah haram dan menjadi sarang penagih dadah.

Projek perumahan

Adun Kempas itu juga mengulas mengenai pembahagian lot rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di kawasan Denai Pinggiran Kempas yang didakwa diberikan kepada keluarga penyokong Umno.

Katanya, sehingga ini hanya tiga blok telah dibina dan empat lagi akan siap sepenuhnya akhir tahun ini.

"Rumah itu khusus untuk setinggan di kawasan berhampiran dan sehingga ini 98 keluarga telah ditempatkan manakala bakinya akan dipindahkan pada Mei tahun depan," katanya.

Osman menambah, pihaknya membahagikan rumah tersebut kepada setinggan terbabit tanpa mengira fahaman politik mereka.

Katanya, oleh kerana terdapat ramai penyokong Umno di kawasan itu, maka timbul dakwaan bahawa projek tersebut dibolot oleh orang Umno.