Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
117 kes baru Covid-19 hari ini, jumlah kini 790
Diterbitkan:  Mar 18, 2020 5:54 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

Malaysia mencatatkan 117 kes positif Covid-19 yang baru setakat pukul 12 tengah hari tadi, menjadikan kes keseluruhan meningkat kepada 790 kes, menurut Kementerian Kesihatan.

Menterinya Dr Adham Baba berkata, daripada 117 kes yang dilaporkan itu, 80 daripadanya berkaitan dengan kluster perhimpunan Tabligh di Masjid Seri Petaling.

Ini bermakna Malaysia mencatat lebih 100 kes baru untuk hari keempat berturut-turut.

Terdapat 120 kes baru yang dilaporkan semalam, 125 kes pada 16 Mac dan 190 kes pada 15 Mac.

Sebelum ini, jumlah kes harian tertinggi hanyalah 41, iaitu pada 14 Mac.

Seperti hari-hari sebelumnya, majoriti kes baru hari ini mempunyai kaitan dengan perhimpunan Tabligh, yang diadakan pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Ini menjadikan jumlah kes yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan itu sekurang-kurangnya 513 kes.

Adham juga memaklumkan terdapat 11 kes positif yang telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah hari ini, menjadikan jumlah pesakit yang pulih kepada 60.

Sementara itu, seramai 15 pesakit yang positif Covid-19 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan, katanya lagi.

Sementara itu, Adham memaklumkan tentang pewartaan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam

Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, susulan perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa hari ini.

"Peraturan ini menjelaskan perkara yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh orang awam berkaitan dengan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.

"Individu yang melanggar mana-mana peruntukan di bawah Peraturan-peraturan tersebut adalah melakukan satu kesalahan, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Peraturan-peraturan ini boleh diperolehi dari laman sesawang Kementerian Kesihatan," katanya.

Katanya lagi, sepanjang tempoh ini, tiada pelawat dibenarkan ke wad hospital kecuali bagi kes kecemasan dan sangat memerlukan.

"Dalam tempoh ini juga, jika diperlukan, hanya seorang peneman dibenarkan semasa temujanji klinik kecuali untuk pesakit kanak-kanak atau pesakit yang memerlukan bantuan atau kes kecemasan," katanya lagi.

Semalam, Malaysia juga mencatatkan dua kematian pertama akibat Covid-19, melibatkan seorang paderi berusia 60 tahun di Kuching, Sarawak, dan seorang lelaki berusia 34 tahun yang turut menyertai perhimpunan Tabligh tersebut.

Lihat Komen
ADS