Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Ribuan berkumpul di Indonesia pula
Diterbitkan:  Mar 18, 2020 9:48 PM
Dikemaskini: 3:12 PM

Ribuan umat Islam daripada seluruh Asia dilapor berkumpul di Indonesia hari ini di tengah-tengah kebimbangan penularan wabak Covid-19.

Ia diadakan walaupun polis dikatakan cuba meminta ia dibatalkan, lapor Reuters.

“Kami lebih takutkan Allah,” kata salah seorang penganjur Mustari Bahranuddin ketika ditanya berkaitan risiko penularan wabak itu.

Acara itu diadakan di Gowa, Sulawesi Selatan.

Republika melaporkan acara dinamakan "Ijtima’ Dunia 2020 Zon Asia" itu dianjurkan oleh Jemaah Tabligh.

Menurut Reuters lagi, pegawai tempatan Arifuddin Saeni berkata dianggarkan seramai 8,695 orang telah berkumpul di Gowa dan jumlah itu dijangka akan meningkat, justeru menyukarkan usaha pihak berkuasa untuk menghentikan perhimpunan tersebut.

"Masih ada yang akan datang. Ada dari Thailand, Arab, India dan Filipina," katanya, sambil memaklumkan pegawai kesihatan akan memantau perhimpunan dan para peserta.

Mustari pula berkata, pihak penganjur sedang membuat pemeriksaan suhu terhadap semua peserta sebagai langkah berjaga-jaga.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata kes positif setakat hari ini meningkat kepada 227 kes, dengan 19 korban.

Bagaimanapun republik itu setakat ini tidak akan mengeluarkan perintah berkurung atau larangan kemasukan, yang menurut Presiden Joko Widodo hanya akan mencetuskan panik di kalangan rakyat.

Pada 27 Febuari hingga 1 Mac lalu dilaporkan lebih 10,000, merangkumi warga Malaysia dan orang luar, menghadiri perhimpunan Tabligh di Masjid Seri Petaling, Petaling Jaya, Selangor.

Sekurang-kurangnya 513 daripada 790 kes positif Covid-19 di Malaysia mempunyai kaitan dengan perhimpunan itu.

Semalam, Malaysia mencatatkan dua kematian pertama akibat virus tersebut, melibatkan seorang lelaki berusia 34 tahun yang turut menyertai perhimpunan Tabligh tersebut dan seorang paderi berusia 60 tahun di Kuching, Sarawak.

Di Brunei pula, setakat ini 50 kes positif Covid-19 mempunyai kaitan dengan perhimpunan itu, manakala negara Asia Tenggara lain, antaranya Kemboja dan Thailand, turut memiliki kes yang berkaitan dengannya.


Lihat Komen
ADS