Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Lid' dan 'Jib' saling salah menyalah berhubung Covid-19
Diterbitkan:  Mar 19, 2020 10:11 PM
Dikemaskini: 2:18 PM

Bekas Perdana Menteri Najib Abdul Razak dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad saling salah menyalah di media sosial mengenai siapa yang bertanggungjawab terhadap penyebaran wabak Covid-19 yang semakin buruk di negara ini.

Menerusi Facebook, Najib memuat naik hantaran Khalid di Twitter yang mengatakan keadaan terkawal sehinggalah berlaku pengkhianatan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Gelombang kedua pada 27 Feb semasa kerajaan PN sedang ditubuh, tak ada kabinet. Kabinet ditubuh 10 Mac.

"Tindakan khianat Azmin (Ali), Muhyiddin (Yassin), Zahid (Hamidi), Hadi (Awang) dan GPS bawa bala kepada negara. Nak Sangat kuasa, tebuk atap," tulisnya.

Gelombang pertama Covid-19 bermula dari 25 Januari hingga 16 Feb berjumlah 22 kes, yang kebanyakannya diimport, selepas itu 11 hari reda tanpa sebarang kes.

Gelombang kedua bermula pada 27 Feb dengan satu kelompok melibatkan pegawai kerajaan dan kemudian kelompok kedua dari satu perhimpunan agama di Sri Petaling.

Jumlah kes pada hari ini meningkat kepada 900.

Menjawab komen Khalid, Najib menyenaraikan kronologi termasuk keputusan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Feb.

Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu, meletak jawatan selepas PH hilang majoriti di Parlimen apabila parti itu dibawa keluar dari gabungan itu oleh Muhyiddin.

Langkah Mahathir meletakkan jawatan secara automatik membubarkan kerajaan.

Najib juga menegaskan bahawa pada pagi 24 Feb, Khalid merasmikan Pesta Belon Udara Panas Antarabangsa 2020 di Putrajaya kerana tiada sebarang larangan kerajaan untuk mengadakan acara umum ketika itu. 

Perhimpunan agama di Sri Petaling berlangsung dari 27 Feb hingga 1 Mac ketika ketiadaan kerajaan selain Mahathir sebagai perdana menteri sementara.

Muhyiddin, setelah mendapat sokongan daripada segelintir pemimpin PKR, BN, PAS, GPS dan parti-parti kecil lain, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac. 

Kabinet beliau diumumkan pada 10 Mac.

"Kerajaan PN dan saya pun tak salahkan PM ke-7 letak jawatan secara tiba-tiba sehingga kita tidak ada kabinet untuk seminggu sebagai punca kes Covid melonjak naik.

"Kita juga tak ingin salahkan kerajaan PH dahulu kerana mereka membenarkan acara tabligh besar-besaran itu dirancang dan dianjurkan pada masa Covid sedang merebak. Kenapa Lid tak insaf?," kata Najib.

Bagaimanapun, Khalid menjawab kembali di Twitter, dengan menyebut mengenai peranan Muhyiddin sebagai Menteri Dalam Negeri pada masa itu.

"Jib pasti faham, Menteri Dalam Negeri masa tu sibuk dengan langkah Sheraton yang jib juga mengaku dirancang berbulan sebelum tu. Manalah dia nak perasan Ijtimak Tabligh yang nak diadakan.

"Insaflah jib. Sibuk main politik semasa negara tengah tangani Covid. Asalnya terkawal," katanya.

 

Anggota parlimen Shah Alam itu berkata, Mahathir terpaksa meletak jawatan akibat 'Langkah Sheraton' pada ketika itu.

"Tun letak jawatan kerana berlakunya Langkah Sheraton. Jangan pisahkan dua perkara ni.

"Jib ngaku negara sedang tangani kes Covid, kenapa buat Langkah Sheraton masa tu? Semua tumpu isu politik. Tak perasan event Tabligh," katanya.

Langkah Sheraton merujuk kepada satu pakatan politik diketuai oleh Azmin dan Muhyiddin, yang menyaksikan kerajaan PH tumbang.

Ia disebut sebagai "Langkah Sheraton" kerana perancangan mereka berkumpul di hotel Sheraton pada malam 23 Feb.

Keadaan itu mencetuskan kemelut politik selama seminggu sehingga Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac.

Lihat Komen
ADS