Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah menghentikan operasi di semua premis di bawah kendalian kementerian itu selaras dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula semalam hingga 31 Mac ini.

Dalam satu kenyataan menjawab soalan lazim (FAQ), KWP berkata di Kuala Lumpur, penutupan operasi akan melibatkan premis dan perkhidmatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) termasuk semua pejabat DBKL, Dataran Merdeka, perkhidmatan suntikan tifoid/meningitis, taman awam, dewan serbaguna/komuniti, kompleks sukan, dan tandas awam di bawah seliaan DBKL.

“Sepanjang tempoh tersebut juga, dua bilik gerakan DBKL turut dibuka untuk perkhidmatan Perumahan (03-9226 3112/1312/1112), Kecemasan (03-4024 4424 / 03-4026 7222 dan Pengurusan Kesihatan Kakitangan DBKL (03-2027 5399),” menurut KWP.

Di Putrajaya, penutupan operasi melibatkan Kompleks Perbadanan Putrajaya, pejabat di bawah Perbadanan Putrajaya, anak syarikat Perbadanan Putrajaya, pusat tarikan pelancongan, taman awam, kompleks kejiranan, kemudahan sukan, dewan serta Rumah Tamu dan Rumah Penginapan di bawah seliaan Perbadanan Putrajaya.

Menurut KWP, orang awam yang mempunyai sebarang aduan/laporan/pertanyaan boleh menghubungi PPj Command Centre di talian 03-88877999 atau Whatsapp ke 019-26663000.

Di Labuan, semua pejabat dan perkhidmatan Perbadanan Labuan ditutup termasuk Wisma dan Kompleks Perbadanan Labuan, pejabat di bawah Perbadanan Labuan, anak syarikat Perbadanan Labuan, pusat tarikan pelancongan, taman awam Kompleks Kejiranan, kemudahan sukan dan dewan di bawah seliaan Perbadanan Labuan.

Orang awam mempunyai sebarang aduan/laporan/pertanyaan mereka boleh menghubungi Bilik Gerakan Perbadanan Labuan yang beroperasi 24 jam di talian 087-425600/012-3588665/019-7878665.

KWP turut memaklumkan operasi di kaunter bayaran bagi Perumahan Awam/Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Pelesenan dan Pusat Khidmat Setempat (OSC) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan juga ditutup sepanjang pelaksanaan tempoh kawalan pergerakan tersebut.

Bagaimanapun, pembayaran secara dalam talian (online) adalah diteruskan seperti biasa dengan menggunakan saluran sedia ada.

-Bernama