‘Jangan sembunyi maklumat pada petugas kesihatan’
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah menggesa orang ramai dan pesakit tidak menyembunyikan sejarah perjalanan dan maklumat kontak rapat mereka ketika pemeriksaan dilakukan supaya tidak menjejaskan keselamatan petugas kesihatan.
Noor Hisham berkata, ini kerana terdapat insiden pesakit tidak berlaku jujur mengenai maklumat sedemikian termasuk penglibatan dalam perhimpunan Tabligh antarabangsa di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.
“Kami mengalami beberapa insiden pada minggu ini yang pesakit menyembunyikan hubungan dan, atau gejala mereka. Sejarah perjalanan dan maklumat hubungan rapat, contohnya, yang dikaitkan dengan perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling juga tidak didedahkan.
“Hanya selepas prosedur dan rawatan klinikal selesai, maklumat kritikal tersebut telah didedahkan.
“Pada masa itu, keselamatan petugas kesihatan dan fasiliti kami telah terjejas.
“Ia adalah satu jenayah sekiranya anda tidak mendedahkan atau menyembunyikan maklumat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, tindakan tersebut bukan sahaja satu jenayah tetapi menjejaskan nyawa petugas kesihatan dan fasiliti.
“Saya merayu kepada orang ramai dan pesakit untuk jujur dan tidak menyembunyikan maklumat sehingga menimbulkan risiko kepada nyawa dan fasiliti kami,” katanya.
Semalam, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, yang juga merupakan menteri penyelaras kanan berkata kira-kira 4,000 peserta perhimpunan tabligh di Kuala Lumpur itu masih belum tampil membuat pemeriksaan.
Ismail turut menggesa mereka yang menyertai perhimpunan tabligh dari 27 Februari hingga 1 Mac, untuk tampil membuat pemeriksaan di pusat-pusat kesihatan.
Kira-kira 14,500 warga Malaysia dan 1,500 warga asing menyertai perhimpunan itu.

