Stanchart turunkan unjuran pertumbuhan KDNK M'sia kepada 2.5 peratus bagi 2020
Standard Chartered Bank menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2020 kepada 2.5 peratus berbanding 4.2 peratus sebelum ini berikutan prospek permintaan yang lebih buruk daripada jangkaan akibat penularan Covid-19 yang berlarutan.
Bank itu turut menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) bagi Mei dan Julai 2020, menyebabkan ia menyusut kepada 2.0 peratus berbanding 2.5 peratus pada masa ini ketika tempoh krisis kewangan global.
Walaupun bank itu yakin gangguan rantaian bekalan di China akan berakhir dengan kembalinya kapasiti produktif negara itu, permintaan yang terjejas berikutan pandemik Covid-19 kini semakin luas daripada yang dijangkakan sebelum ini.
“Andaian awal kami adalah aktiviti ekonomi (terutamanya di Asia) yang terjejas ketara pada suku pertama dengan impak negatif yang berlegar pada suku kedua, sebelum kembali normal pada separuh kedua,” katanya dalam nota penyelidikan global yang dikeluarkan hari ini.
Standard Chartered berkata, sejak daripada itu, pandemik tersebut merebak pantas di seluruh dunia walaupun kerajaan di seluruh negara termasuk Malaysia memperkenalkan langkah pencegahan secara progresif, namun, pertumbuhan dijangka negatif bagi jangka pendek.
“Sehubungan itu, kami menjangkakan permintaan yang terjejas di peringkat tempatan dan luaran di Malaysia akan berpanjangan walaupun gangguan rantaian bekalan di China kembali normal,” katanya.
Bagaimanapun, bank itu menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK bagi 2021 kepada 4.8 peratus daripada 4.4 peratus sebelum ini mengikut kesan asas yang menggalakkan.
Mengenai jangkaan penurunan OPR, Standard Chartered berpandangan kenyataan dasar monetari terakhir yang dikeluarkan pada 3 Mac, 2020, dilihat lebih seimbang berbanding kadar faedah rendah dan menunjukkan bank pusat terbuka untuk penurunan yang selanjutnya.
“Risiko ke atas saranan kami antaranya BNM perlu lebih pantas (contohnya mengadakan mesyuarat) selain lebih agresif dengan memulakan pengurangan 50 bps untuk keputusan selanjutnya.
“Walaupun kami mengakui risiko ini, kami berpendapat agregat pengurangan kadar 50 bps pada suku pertama tahun ini telah menyediakan ruang dasar monetari untuk memberi tindak balas dengan cara yang lebih tepat,” katanya.
Sementara itu, bank itu berkata berikutan penyusutan harga minyak yang menyebabkan harga bahan api turun, ia telah merendahkan unjuran inflasi bagi 2020 kepada 0.8 peratus daripada 1.9 peratus sebelum ini.
Bagi 2021, kami akan menyemak semula prospek indeks harga pengguna kepada 2.5 peratus daripada pemulihan sederhana dalam harga indeks minyak global.
“Pada tahap ini, kami yakin bank pusat akan menyediakan persekitaran yang sangat akomodatif,” katanya.
-Bernama

