Singapura sediakan tempat tinggal, dua jawatankuasa bersama Malaysia-Singapura ditubuh
Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dibenar meneruskan pekerjaan masing-masing di republik itu, hasil persetujuan kerajaan Singapura untuk menyediakan tempat tinggal selama dua minggu bagi pekerja terlibat, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.
Apabila pekerja Malaysia pulang nanti, mereka perlu membuat saringan kesihatan Covid-19 bagi memastikan tahap kesihatan mereka, kata Menteri Pertahanan itu.
Menyatakan hal itu adalah antara yang dibincangkan dan dipersetujui oleh kedua-dua kerajaan, Ismail Sabri berkata dua Jawatankuasa Bersama antara Malaysia dan Singapura di peringkat menteri akan diwujudkan dan dipengerusikan bersama oleh Menteri Pertahanan Malaysia dan Singapura.
"Keduanya adalah Jawatankuasa Kerja dipengerusikan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Luar bersama KSU kementerian lain danbersama KSU kementerian di Singapura," katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri berhubung Perintah Kawalan Pergerakan di Putrajaya, hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan) berkata kerajaan negeri Johor akan dilibatkan kerana ia mengenai pergerakan harian dari Malaysia ke Singapura menerusi pintu masuk di Johor yang akan dipantau dari semasa ke semasa.
"Dari segi penghantaran produk makanan seperti biasa diteruskan cuma pemandu itu akan disaring setiap kali keluar dan masuk, dan semuanya akan ditanggung oleh kerajaan Singapura," kata Ismail Sabri.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata rakyat Malaysia yang akan dibawa pulang dari Iran dan Itali pada 22 Mac dan 23 Mac akan dikuarantin selama 14 hari.
"Semua rakyat Malaysia yang berada di Itali dan Iran yang pulang akan dikuarantin selama 14 hari kerana datang dari negara yang risiko amat tinggi," katanya.
Beliau berkata negara Iran dan Itali adalah antara negara yang serius dalam Covid-19, di mana kes positif Covid-19 di Itali tinggi dengan kadar kematian melebihi 3,000.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kerajaan dalam proses membawa pulang 65 rakyat Malaysia yang berada di Iran dan 323 di Itali berikutan situasi penularan COVID-19 yang semakin teruk di kedua-dua negara.
-Bernama

