Covid-19: Bayaran gaji penjawat awam Pulau Pinang dibuat hari ini
Pembayaran gaji bulan Mac bagi penjawat awam negeri Pulau Pinang dibuat hari ini sebagai penghargaan dan membantu penjawat awam berhadapan dengan tempoh sukar susulan penularan Covid-19.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook peribadinya hari ini berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk membuat bayaran gaji lebih awal sebagai menghargai sumbangan penjawat awam negeri yang bertungkus lumus dalam usaha melawan Covid-19.
"Dari kakitangan pembersihan sehinggalah penguat kuasa serta barisan pegawai yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan penting, mereka tidak berhenti bekerja demi berkhidmat untuk rakyat Pulau Pinang.
"Bagi mereka yang tidak dapat hadir ke pejabat, tugas terus dilaksanakan dari rumah. Malah, kepada pasukan yang bertugas di Bilik Gerakan Pasukan Petugas Khas Covid-19Kerajaan Negeri dalam tempoh 24 jam, terima kasih diucapkan," katanya.
Menurutnya, beliau akan menghadiri Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara berkaitan pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Putrajaya, pada 3.00 petang ini dan akan membangkitkan empat perkara pada mesyuarat itu.
Chow berkata antara perkara yang akan dibangkitkan ialah pelaksanaan penguat kuasaan lebih ketat berhubung operasi kilang-kilang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, pembekalan peralatan perubatan yang mencukupi untuk hospital dan klinik kerajaan di Pulau Pinang serta kesukaran untuk mendapatkan bekalan penutup hidung dan mulut, termometer dan cecair pembasmi kuman.
"Bagi penutup mulut dan hidup, saya akan mengesyorkan supaya kerajaan pusat mengenakan kuota eksport serta subsidi kepada pengilang tempatan agar pengeluaran boleh memenuhi keperluan domestik. Serentak itu, saya akan memohon supaya kerajaan pusat membekalkan stok barangan itu kepada semua kerajaan negeri seluruh negara untuk diagihkan kepada sektor-sektor yang memerlukan.
"Selain itu, saya akan mendapatkan status permohonan kerajaan negeri berhubung peruntukan RM30 juta daripada pakej rangsangan ekonomi yang dibentangkan oleh perdana menteri sebelum ini. Tiada tempat bagi istilah perbezaan politik pada waktu genting ini, Pulau Pinang akan mengenepikan segala persaingan politik dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha melawan Covid-19," katanya.
Mengulas sama ada kerajaan negeri akan mengikut langkah Pahang yang tidak membenarkan operasi premis perniagaan di beberapa daerah mulai 7.00 malam hingga 7.00 pagi bagi membendung penularan Covid-19, Chow berkata, jika pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan mendapat penyertaan penuh daripada semua penduduk Pulau Pinang dan mencapai matlamatnya, maka larangan itu kemungkinan tidak diperlukan.
Bagaimanapun, menurutnya kerajaan negeri adalah terbuka dengan langkah itu dan sekiranya ada keperluan pihak berkuasa tempatan akan menguatkuasakan tempoh masa premis perniagaan di negeri ini.
Sehingga hari ini, tahap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan dalam kalangan penduduk Pulau Pinang adalah memuaskan dan penguat kuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam memastikan semua pihak mematuhi perintah itu.
-Bernama

