Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Satu mesyuarat khusus akan diadakan bagi membincangkan soal kebajikan gelandangan di Kuala Lumpur sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan yang masuk hari ketiga hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa, berkata, hal itu bagi memastikan golongan berkenaan tidak terdedah dengan penularan wabak Covid-19 lebih-lebih lagi pematuhan terhadap perintah berkenaan masih di tahap kurang memuaskan.

“Saya putuskan tadi saya akan adakan mesyuarat khusus yang berasingan tentang gelandangan dari sudut penguatkuasaan, dan bagaimana hendak pastikan mereka tidak menjadi golongan mudah terdedah (vulnerable) dalam konteks penularan Covid-19 dan juga aspek kebajikan mereka.

“Saya rasa untuk gelandangan, ada keperluan langkah jangka pendek, dan ada keperluan langkah yang lebih berjangka panjang. Saya harap masalah ini dapat dilihat secara holistik, bukan secara sebahagiannya saja (piecemeal),” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan di pejabat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menjawab soalan pemberita tentang kebajikan dan penempatan golongan gelandangan di Kuala Lumpur ketika perintah berkenaan berkuat kuasa.

Kata Annuar, pihaknya turut mengambil maklum usaha orang awam dan NGO yang menyantuni golongan berkenaan, namun dikhuatiri tidak menjaga penjarakan sosial (social distancing) ketika berurusan dengan golongan gelandangan.

Mesyuarat itu disertai oleh agensi-agensi yang berkaitan menangani penularan Covid-19 di Kuala Lumpur dan Putrajaya, antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Selain itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim yang turut hadir, menjelaskan bahawa polis setakat ini belum melaksanakan perintah larangan perjalanan rentas negeri seperti yang pernah diumumkan ketua polis negara Abdul Hamid Bador.

“Buat masa ini kita belum laksanakan lagi beberapa perkara perjalanan rentas negeri. Cuma, makluman adalah untuk hadkan pergerakan.

"Maknanya tak bolehlah pergi sewenang-wenangnya, balik kampung ke, kena duduk di rumah," katanya dalam sidang media sama.

Ketika ditanya bila polis akan menguatkuasakan semula perintah larangan perjalanan rentas negeri, Mazlan tidak menjelaskan tarikh khusus, sebaliknya hanya menjawab polis mengambil pendekatan berunsur nasihat.

“Buat masa ni, kita lebih pada bagi nasihat. Untuk nasihat (supaya orang ramai) duduk di rumah,” katanya lagi.

Sehari sebelum penguatkuasaannya, Abdul Hamid mengumumkan bahawa perintah kawalan pergerakan akan turut melibatkan sekatan keluar antara negeri.

Sekatan itu memerlukan mereka yang ingin melakukan perjalanan rentas negeri mengisi borang khas di balai polis dan menyertakan dokumen pengesahan tentang keperluan membuat perjalanan berkenaan.

Susulan itu, orang ramai berpusu-pusu ke balai polis menyebabkan kesesakan, sehingga memaksa polis menangguhkan arahan tersebut beberapa jam kemudian.

Setakat ini, tiada arahan baru tentang penguatkuasaan semula larangan perjalanan keluar negeri dikeluarkan.

Lihat Komen
ADS