Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas menteri bantah kenaikan harga siling topeng muka

Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail menyuarakan bantahan terhadap kenaikan harga siling untuk topeng muka tiga lapis.

"Terlalu tinggi pada saat bekalan sukar diperolehi. Ini membebankan rakyat dan rakyat mungkin memilih tidak membeli kerana harga mahal dan keadaan ini menyebakan usaha kerajaan membendung Covid-19 akan menempuh kegagalan.

"Saya menyeru kerajaan supaya teruskan perbincangan dengan syarikat-syarikat pengeluar dan minta mereka ikut berkorban pada ketika seluruh negara menghadapi masalah ini dengan meminta mereka tingkatkan pengeluaran dan bukannya mereka meminta kerajaan naikkan harga," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu penggantinya, Alexander Nanta Linggi mengesahkan harga siling topeng muka tiga lapis kini RM2 seunit, berbanding sebelumnya iaitu 80 sen. Kenaikan itu pada kadar 150 peratus.

Alexander hari ini berkata langkah menaikkan harga siling itu untuk meningkatkan bekalan di pasaran tempatan, termasuk menggalakkan peniaga untuk mengimportnya.

Selain itu, langkah lain yang diambil ialah melarang eksport topeng muka ke mana-mana negara.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata hari ini kerajaan juga boleh membantu syarikat-syarikat dengan berunding dengan pembekal bahan mentah untuk menghasilkan topeng muka khususnya di China supaya bekalan mencukupi.

"Memandangkan China yang semakin menunjukkan tanda-tanda berkurangan ancaman virus ini.

"China merupakan negara paling banyak menghasilkan topeng muka.Maka kerajaan patut menggalakkan syarikat-syarikat tempatan menambah import topeng dari China," katanya lagi.

Perintah Kastam yang baru (Larangan mengenai Eksport) (Pindaan) (No.2) 2020 dan Kawalan Harga dan Anti-pencatutan (penentuan harga maksimum) (No.2) 2020 berkuat kuasa hari ini dan menyenaraikan harga baru.

Menurut warta kastam itu, harga bagi topeng muka satu lapis ialah RM0.15 seunit, atau RM7 satu kotak; topeng muka dua lapis adalah RM0.20 seunit, atau RM10 satu kotak; dan topeng muka N95 adala RM6 seunit.

Harga bagi topeng muka tiga lapis kini berharga RM2 seunit, atau RM100 sekotak.

Menurut Saifuddin lagi, ketika beliau masih menjadi menteri, perjumpaan telah dibuat dengan pengeluar topeng muka dan tiada yang meminta harga siling dinaikkan.

"Pada hari terakhir saya bertugas, saya telah berjumpa dengan semua pengeluar topeng. Mereka minta dipermudahkan urusan dapat pekerja, diizin operasi tiga syif tanpa karenah birokrasi dan diberi pelepasan cukai kastam.

"Permintaan itu dibawa kepada Kabinet dan dipersetujui. Semua pengeluar setuju tambah pengeluaran, tidak pula mereka minta naik harga sebab faham harga topeng muka di bawah harga kawalan," katanya dalam suatu kenyataan berasingan melalui hantaran Facebook hari ini.

Justeru, beliau yang juga MP Kulim-Bandar Baharu menggesa kerajaan untuk meneliti semula keputusan untuk menaikkan harga siling itu, yang menurutnya dibuat secara mendadak.

Dalam sidang media hari ini, Alexander berkata langkah menaikkan harga siling itu untuk meningkatkan bekalan di pasaran tempatan, termasuk menggalakkan peniaga untuk mengimportnya.

Selain itu, langkah lain yang diambil ialah melarang eksport topeng muka ke mana-mana negara.

 

Lihat Komen
ADS