Terjemahan Penal siasatan yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menangguh sebarang keputusan terhadap kes membabitkan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof.

Najib berkata, penangguhan itu dibuat kerana tidak mahu mempengaruhi siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis terhadap kes berkenaan.

"Kami telah rekod segala keterangan dan kami memutuskan, oleh kerana agensi tertentu sedang membuat siasatan terhadap kes YB (Yang Berhormat) Jasin, adalah tidak wajar, tidak sesuai bagi kami membuat keputusan dan mengumumkannya sekarang," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

"Ini kerana ia boleh memberi kesan kepada siasatan yang dibuat oleh pihak BPR dan polis. Jadi, lebih baik kami menunggu siasatan mereka selesai. Jadi, kami menangguhkan keputusan mengenai MP (anggota Parlimen) Jasin," katanya.

Menurut laporan Bernama, di samping keterangan Mohd Said, panel itu turut merekodkan keterangan Pengarah Kastam Melaka Md Hashim Pardi dan seorang pegawai penguatkuasa dalam sesi berasingan yang berlangsung keseluruhannya selama 90 minit.

Datuk Mohd Said Yusof menemui penal siasatan di Putrajaya hari ini selama empat jam berhubung dakwaan beliau telah mengganggu tugas Jabatan Kastam Melaka berhubung rampasan kayu balak bergergaji dari Indonesia.

Kumpul maklumat

Selain Najib selaku ketua whip, anggota penal tersebut ialah tiga timbalan ketua whip Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, Menteri Kerjaraya Datuk Seri S Samy Vellu dan Menteri Pengangkutan Datuk Chan Kong Choy.

Ditanya sama ada Mohd Said memberikan jawapan yang memuaskan mengenai keterlibatannya, Najib berkata: "Sekiranya saya katakan memuaskan, maka anda mungkin akan membuat kesimpulan tertentu.

"Jadi saya tidak ingin berkata lebih daripada apa yang telah saya katakan tadi. Cukuplah bagi saya mengatakan bahawa kami telah mengumpulkan fakta dan maklumat yang berkaitan dengannya."

Ditanya apakah situasi paling buruk yang mungkin dihadapi ahli Parlimen itu, Najib berkata orang ramai tidak harus membuat spekulasi.

Setelah didesak lagi, beliau berkata: "Kalau kita buat apa-apa keputusan, katalah kita gantung dia atau kita kata dia tidak melakukan sebarang kesalahan, ini ada kesan pada siasatan BPR nanti.

"Jadi tak wajarlah jawatankuasa ini mendahului siasatan yang dibuat."

Sebelum ini, Mohd Said mengakui bahawa beliau telah meminta Jabatan Kastam Melaka supaya 'menutup sebelah mata' terhadap rampasan kayu balak berkenaan.

Kemudian, pihak media melaporkan bahawa syarikat pengendali import kayu balak berkenaan adalah milik ahli Parlimen Jasin itu.

Mohd Said muram

Mohd Said tiba di pejabat Najib pagi ini dengan disertai berpuluh orang penyokongnya, kira-kira 30 minit sebelum mesyuarat dengan penal tersebut berlangsung pada jam 11.30 pagi.

Ahli Parlimen itu keluar dari bilik mesyuarat itu pada kira-kira jam 1 tengahari dan kelihatan muram dan enggan menjawab soalan wartawan.

Beliau hanya hanya menjawab 'ok' apabila ditanya sama ada beliau berpuashati dengan perjalanan mesyuarat tersebut.

Manakala Chan salah seorang ahli panel berkenaan menyifatkan mesyuarat hari ini berjalan dengan baik.

Kes Mohd Said itu juga turut disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).