Peladang perlu patuhi langkah pencegahan Covid-19
Mereka yang terlibat dalam sektor perladangan dan komoditi diminta mematuhi segala langkah pencegahan dan pengawalan penularan jangkitan Covid-19 seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik balik kelonggaran meneruskan operasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, ke atas syarikat atau pekebun kecil yang melanggar peraturan.
“Dalam kelonggaran yang kita bagi, pertama sekali pekerja seperti di peringkat pengurusan dan operasi diminimumkan, kedua mereka harus mengikut semua tatacara keselamatan yang ditetapkan antaranya menggunakan penutup hidung dan mulut dan hand sanitizer (cecair pembasmi kuman).
"Di peringkat ladang pula kita gunakan (pekerja) maksimum yang ada tetapi mereka perlu berada pada jarak yang sesuai, jadi tidak ada keperluan untuk hadkan tenaga pekerja di peringkat ini,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di Felda Belara, di Kuala Terengganu, hari ini.
Mohd Khairuddin juga berkata semua pekerja yang terlibat dalam sektor perladangan dan komoditi di pelbagai peringkat perlu melalui pemeriksaan suhu badan setiap hari sebelum memasuki kawasan kerja.
Dalam pada itu beliau berkata hasil pemantauannya di Felda Belara hari ini mendapati operasi kerja yang dijalankan di tanah rancangan itu menepati semua peraturan pencegahan dan pengawalan Covid-19 yang ditetapkan.
Tanah rancangan yang berkeluasan 915 hektar termasuk 163 kawasan berhasil itu mempunyai 208 peneroka dan 27 pekerja asing.
“Di peringkat Felda pula saya yakin mereka diberikan taklimat tepat kerana mereka (peneroka dan pekerja) tinggal setempat sahaja jadi mudah untuk dikawal dan dipantau,” katanya.
Semalam, Mohd Khairuddin dalam satu kenyataan berkata kelonggaran yang diberikan kepada sektor perladangan dan komoditi untuk meneruskan aktiviti mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dibuat selepas mendapat panduan umum Kabinet dan pengesahan daripada MKN.
Katanya kementerian juga mengambil maklum akan kepentingan industri sawit dan getah yang menyumbang kepada rantaian bekalan berkaitan penyediaan perkhidmatan yang perlu seperti pembekalan minyak masak dan pembekalan peralatan perubatan seperti sarung tangan.
-Bernama

