Malaysia telah menghantar satu pasukan awal seramai 25 anggota tentera ke Timor Leste untuk meninjau keadaan sebenar ekoran laporan mengenai keganasan di sana.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penghantaran mereka dibuat selepas beliau menerima satu panggilan telefon semalam daripada Perdana Menteri Timor Leste, Mari Alkatiri, yang memohon bantuan Malaysia bagi menangani keadaan di negara itu.

"Pasukan itu berlepas pada jam 11 pagi tadi. Mereka adalah sebahagian daripada pasukan utama yang akan ke sana kelak," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Menurut laporan Bernama, Timor Leste juga dilaporkan meminta bantuan Australia, New Zealand dan Portugal bagi meredakan keadaan akibat pertempuran antara anggota pasukan keselamatan negara itu dengan bekas tenteranya.

Najib, yang juga Menteri Pertahanan, berkata Malaysia bercadang menghantar pasukan campuran seramai 500 orang anggota polis dan tentera.

Bilangan itu, katanya, boleh berubah mengikut keadaan.

"Pada masa yang sama, kita sedang mendapatkan mandat daripada Bangsa-bangsa Bersatu," kata Najib.

Beliau berkata Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar telah menghubungi beliau bagi menyatakan sokongan Wisma Putra terhadap inisiatif itu.