Kakitangan salah tidak dilindungi: Abdul Hamid
Lembaga Tabung Haji tidak akan lindungi kakitangannya yang didapati terbabit dengan kecurian wang di beberapa akaun pendeposit institusi itu yang berjumlah RM8.95 juta antara April hingga Julai lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin.
"Kita (Tabung Haji) tidak akan lindungi mereka yang didapati bersalah, yang bersalah tetap bersalah," katanya dalam sidang media di Pusat Islam, hari ini.
Beliau bagaimanapun memberitahu masih belum menerima sebarang laporan daripada pihak berkuasa mengenai individu yang terbabit.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan) Bukit Aman Datuk Maizan Shaari hari ini dilaporkan berkata polis sedang memperinci siasatan berdasarkan bukti yang diperoleh sebelum tangkapan dibuat.
Akhir Ogos lalu, polis menyoal siasat beberapa "orang dalam" di Tabung Haji kerana disyaki membantu satu sindiket mengeluarkan wang itu daripada kaunter urusniaga ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.
Pengeluaran palsu
Pengeluaran itu dipercayai dilakukan dengan menggunakan kad pengenalan palsu dan cap jari milik penyamar menerusi 18 urus niaga.
Menurut Abdul Hamid pihak institusi itu akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
"Malah saya amat suka perkara ini cepat diselesaikan," katanya.
Beliau juga mengakui beberapa kelemahan di institusi itu menyebabkan perkara sedemikian boleh berlaku.
"Memang ada kelemahan, sebab itu saya perbaiki sekarang iaitu sistem pengurusan diperkemaskan dan cara pengeluaran (wang akaun pendeposit) akan diperketatkan," jelasnya.
Akhir bulan lalu, Tabung Haji mengumumkan lapan ahli lembaga pelaburan iaitu Pengarah Jabatan Mahkamah Syariah Sheikh Ghazali Abdul Rahman, Pengarah Pengurusan Hartanah Mohd Bakke Salleh, Pengarah Eksekutif MBF Holdings Bhd Azizan Abdul Rahman dan Pengarah Symphony Global Technologies Sdn Bhd Zahridah Ismail.
Turut menjadi ahli panel lembaga itu Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Dr Abdul Malek Awang Kechik, Ketua Amanah Capital Malaysia Bhd Corporate Services Abdul Wahid Omar dan seorang daripada ketua projek E-kerajaan, Dr Hayati Mohammad.
Lembaga itu diketuai oleh Pengarah Urusan Amanah Capital Partners Bhd Syed Anwar Jamalullail.

