mk-logo
Berita
Permaisuri Agong jamu petugas perubatan sajian masakan baginda

Keprihatinan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terhadap rakyat sememangnya tidak boleh dinafikan, lebih-lebih dalam situasi wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

Raja Permaisuri Agong berkenan menyajikan nasi berlauk hasil air tangan Baginda, kepada petugas di Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya, semalam.

"Hari ini saya masak untuk doktor-doktor, jururawat dan petugas di Hospital Sungai Buloh... semoga Allah SWT merahmati dan melindungi mereka yang bertugas untuk negara ku Malaysia ....," titah Raja Permaisuri Agong, menerusi hantaran di Instagram baginda.

Dalam hantaran tersebut, antara menu yang dihasilkan oleh baginda khas untuk petugas di Hospital Sungai Buloh adalah nasi putih, kari ayam, sayur goreng dan telur dadar yang dibungkus rapi dan diedarkan kepada petugas berkenaan.

Manakala nasi goreng 'cheminahsayang' dan sambal tumis bilis serta kek muffin menjadi menu untuk petugas CPRC.

"Nasi goreng cheminahsayang dan sambal tumis bilis... untuk pegawai , doktor dan jururawat bertugas corona di CPRC," titah Baginda.

Pastinya menerusi hantaran tersebut, mencuit perhatian netizen yang memuji keprihatinan Tunku Azizah terhadap petugas perubatan, yang telah banyak berkorban masa dan tenaga bagi merawat pesakit Covid-19.

Antara komen yang diberikan:

bayahness: Ampun Tuanku.. Patik selaku warga kerja kesihatan di hospital kawasan Sungai Buloh amat terharu dengan keprihatanan Tuanku.. Junjung kurnia Tuanku... Moga Allah merahmati. You are my idol. Ampun Tuanku.

wan_fary: Beruntung nya staff di Sungai Buloh. Next HTAA tuanku.

ismazatulhusna: Alhamdulillah junjung kasih tuanku. Thank you to all Malaysian frontliners.

the_stories_of_familia: Bangga ada queen macam tuanku.

Tidak ketinggalan, kemurahan hati Baginda itu mendapat ucapan terima kasih daripada petugas Hospital Sungai Buloh atas sumbangan Raja Permaisuri Agong itu kepada mereka.

Respons itu dijawab dengan hantaran terbaru baginda di Instagramnya dengan bertitah:

The least I could do... for the government servants sacrificing their lifes... I salute them.”

- Bernama

Lihat Komen
ADS