Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Malaysia sedang bergerak ke fasa mitigasi tangani Covid-19
Diterbitkan:  Mar 22, 2020 7:41 PM
Dikemaskini: 11:51 AM

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia sedang bergerak ke arah fasa keempat, iaitu fasa mitigasi, dalam menangani Covid-19.

Fasa mitigasi ialah fasa akhir, dalam empat peringkat fasa menangani wabak, selepas fasa amaran (alert phase), pembendungan awal (early containment) dan pembendungan akhir (late containment).

Fasa ini disenaraikan mengikut tahap keseriusan wabak penyakit tertentu.

"Kita sedang bergerak ke arah fasa 4 yang sebenarnya adalah mitigasi jadi sangat penting bagi kita untuk memastikan bahawa ini adalah peluang kecil bagi kita untuk memutuskan rangkaian penyebaran virus dalam masyarakat.

"Oleh itu, kami menggunakan Akta 342, Pencegahan dan Pengawalan Akta Penyakit Berjangkit, dan dengan akta ini dan perintah kawalan pergerakan (PKP)... pada dasarnya kita cuba untuk menyekat pergerakan individu.

"Sekiranya kita boleh melakukannya, maka tidak ada perhimpunan awam, dan tidak ada peluang untuk virus merebak dari satu individu ke individu lain," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya hari ini.

Pada 15 Mac lalu, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, Malaysia berada di peringkat pembendungan akhir.

Hanya tiga hari sebelum itu, beliau berkata Malaysia masih dalam fasa pembendungan awal.

Noor Hisham hari ini mengumumkan bahawa terdapat 123 kes positif Covid-19 baru setakat tengah hari tadi, menjadikan jumlah keseluruhan 1,306 kes.

Dua kematian baru akibat jangkitan Covid-19 hari ini menjadikan jumlah korban akibat wabak itu di Malaysia sebanyak 10 orang.

Lihat Komen
ADS