Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KATA MP | Pertama, wabak virus Covid-19 ini satu ancaman berskala global di seluruh dunia. 

Ini bermakna dalam dunia globalisasi sekarang kelangsungan hidup manusia di alam sejagat ini adalah kait mengait, berhubungan rapat. 

Bukan sahaja ancaman senjata nuklear boleh menghancurkan dunia dan membunuh manusia dalam skala mega, tetapi kini ancaman koronavirus (Covid 19) boleh memusnahkan puluhan juta nyawa manusia jika wabak ini gagal ditangani. Mudah-mudahan ini tidak akan berlaku.

Kedua, kita umat manusia baru-baru ini begitu bangga dengan kemajuan teknologi yang pesat terutama dibidang telekomunikasi.

Kita juga ada revolusi industri 4.0. Kita sekarang di seluruh dunia mengejar teknologi 5G dan Artificial Inteligence. 

Tetapi satu perkara kita lupa bahawa kita kenal virus dan penyakitnya tetapi kita gagal mencipta ubat dan penawar mengatasi penyakit itu dalam bentuk vaksin.

Apabila kita berdepan dengan malapetaka koronavirus yang mengancam nyawa di seluruh dunia, barulah kita berusaha mencari vaksinnya.

Pada akhirnya kita mulai menyedari pentingnya para saintis di bidang kesihatan ini perlu kita berikan pengiktirafan dan ganjaran yang sewajarnya untuk mereka melakukan penyelidikan dan mencipta ubat serta vaksin-vaksin.

Ketiga, wabak koronavirus atau Covid-19 ini tidak kenal wilayah geografi.

Ia dikesan di Wuhan, China sebuah negara komunis yang tidak mengamalkan sistem demokrasi, walaupun ekonominya jenis kapitalis. 

Berpuluh ribu dikesan dijangkiti Covid-19 dan lebih tiga ribu orang mati. Dari negara China yang komunis, Covid-19 ini tak kenal ideologi. 

Itali, negara Eropah yang mengamalkan sistem demokrasi dan sebuah negara terkenal dengan fesyen, kereta mewah Ferrari dan Lamborgini juga jadi pusat merebaknya wabak penyakit Covid-19 sehingga bilangan yang mati lebih tinggi daripada kematian di China.

Dari Itali kita lihat negara Eropah lain juga terjejas teruk seperti Sepanyol, Britain, Perancis dan Jerman.

Kesatuan Eropah dan perikatan ketenteraan NATO tidak dapat menahan kemaraan wabak penyakit Covid-19 itu menyerang Eropah.

Akhirnya Amerika Syarikat juga terpaksa mengisytiharkan darurat di negeri California yang terjejas teruk. Amerika Syarikat ini sebuah negara besar yang kononnya jadi jaguhan demokrasi.

Tetapi presidennya sendiri yang angkuh, celupar dan rasis bernama Donald Trump juga perlu dilakukan ujian sama ada positif atau tidak jangkitan Covid-19 itu. 

Amerika Syarikat yang ada senjata nuklear terunggul dunia tidak kebal dengan penularan virus Covid-19.

Bukan sahaja Covid-19 ini tak kenal komunis atau demokrasi, tetapi ancamannya juga tidak memilih agama dan kepercayaan kepada Tuhan. 

Negara Vatican yang terletak di Rom Itali yang menjadi pusat kerajaan Kristian Katholik sedunia juga terjejas sehingga Pope dilihat di dalam gambar bersembahyang berseorangan tanpa para penganut, yang lazimnya ramai bersembahyang bersama. 

Begitu juga di tanah suci Mekah, di Masjidil Haram di mana kini, keadaan kosong kerana kerja-kerja pembersihan membasmi kuman dan virus sedang dilakukan dan ibadah umrah dibatalkan buat sementara ketika ancaman Covid-19 ini  bermaharajalela.

Di Arab Saudi yang Sunni, Covid-19 sedang mengancam, begitu juga di Iran yang bermazhab Syiah, keadaan ancaman Covid-19 begitu serius dan ramai yang mati.

Keempat, apa makna ini semua? Jawabnya ialah umat manusia sejagat perlu membina satu tatacara dunia yang menjamin kebajikan dan kesejahteraan umat manusia tidak mengira apa ideologi dan agama kepercayaan mereka. 

Kini tidak kira sama ada Islam atau Kristian, Hindu atau Budha, yang Atheis atau tanpa agama semuanya diancam oleh mahkluk halus yang tidak nampak dengan mata kasar bernama koronavirus atau Covid-19 yang membunuh.

Kelima dan terakhir, ini penting bagi kita di Malaysia yang rakyatnya pelbagai agama dan kaum bahawa nasib kita semua rakyat Malaysia terancam dengan wabak ini. 

Virus Covid-19 ini tidak kenal kaum Melayu atau Cina atau India atau Iban atau Dayak atau Kadazan atau Orang Asli. 

Yang jelasnya virus ini boleh menyerang makhluk yang semuanya sama, sama ada Islam, Kristian, Hindu, Buddha yang bernama manusia. Tidak mengira kaum dan agamanya. 

Semuanya kita, tidak kira sama ada orang Islam atau Buddha, Hindu atau Kristian atau kepercayaan Animisma semuanya terdedah kepada penularan Covid-19 yang membunuh.

Apa makna ini semua? Maknanya jika dalam hal memerangi wabak Covid-19 ini semua rakyat Malaysia dari semua kaum dan agama boleh bersatu untuk menyelamatkan nyawa kita semua, anak-anak dan keluarga kita sebagai satu rumpun bangsa yang dipanggil Malaysia, maka semangat kebersamaan ini perlu dikekalkan dalam kehidupan kita bernegara dalam sebuah tanahair yang dipanggil Malaysia.

Apa juga ideologi ekstrem dan amalan hidup yang ekstrim yang memisahkan kita rakyat berbilang kaum dan agama baik dalam bidang politik, ekonomi dan sosial hendaklah ditolak. 

Malahan Covid-19 ini juga tidak mengenal kelas dalam masyarakat. Tiada kelas yang selamat, sama ada kaya atau miskin, golongan atasan atau bawahan, profesional atau teknokrat, feudal aristokrat atau rakyat marhaen, semuanya menghadapi risiko yang sama kerana semuanya bernama manusia. Sama-samalah kita renungkan.


HASSAN ABDUL KARIM ialah anggota parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS