Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maut akibat tergoda 'emas berbilion ringgit'
Diterbitkan:  Mar 23, 2020 10:16 AM
Dikemaskini: 2:16 AM

Gara-gara yakin ada emas bernilai berbilion ringgit, dua lelaki menemui ajal selepas tertimbus tanah semasa mencari 'harta karun' berkenaan di Gurun, Kedah semalam.

Mangsa - dikenali sebagai Md Noor Shaari, 68, dan Roslan Saidin, 52 - dipercayai melakukan kerja-kerja mencari emas di kaki Gunung Jerai itu sejak 10 tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah, berkata kedua-dua lelaki terbabit sudah menghentikan pencarian mereka pada 19 Mac lalu namun kembali semula ke situ petang semalam.

“Mangsa dikatakan mempercayai terdapat emas bernilai berbilion ringgit di kawasan Gunung Jerai dan yakin mereka semakin hampir menemui harta karun berkenaan," katanya seperti dipetik BH Online hari ini.

Adzli juga memberitahu sebelum kejadian seorang daripada mangsa yang tertimbus itu sempat menghubungi rakannya di luar supaya datang menghantar bekalan air.

Bagaimanapun, katanya, apabila lelaki terbabit sampai ke lokasi kira-kira jam 4 petang, dia gagal menemui Md Noor dan Roslan itu sebaliknya melihat ada kesan runtuhan tanah.

Kejadian itu kemudian dilaporkan kepada polis.

Polis yang datang menemui kereta mangsa yang diletakkan berhampiran tempat kejadian yang juga kawasan tapak projek perumahan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata operasi mencari secara manual dimulakan kira-kira jam 6.30 petang.

Bagaimanapun sehingga tengah malam tadi kedua-dua mangsa belum ditemui.

“Anggota bomba berhadapan kesukaran kerana kedalaman kawasan runtuhan lebih 12 meter dan mangsa dianggarkan tertimbus pada kedudukan antara 1.5 hingga tiga meter,” katanya.

Operasi itu dijadual disambung pagi ini.

Lihat Komen
ADS