Kerajaan negeri Kedah rayu peserta ijtimak tabligh Sri Petaling buat saringan Covid-19
Kerajaan negeri Kedah merayu peserta ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 28 Feb hingga 1 Mac lepas, yang berada di negeri ini dan belum membuat saringan Covid-19 supaya segera berbuat demikian bagi mengelakkan penularan wabak itu.
Menteri Besar, Mukhriz Tun Mahathir berkata ia berikutan sebanyak 48 daripada 52 kes positif wabak itu di negeri ini membabitkan kluster peserta perhimpunan itu setakat 12 tengah hari tadi.
"Yang membimbangkan ialah jangkitan kepada kaum keluarga mereka dan rakan-rakan yang rapat dengan mereka iaitu yang berusrah dengan mereka, oleh sebab itu kita sekali lagi merayu kepada anggota tabligh yang belum tampil supaya membuat saringan," katanya.
Beliau bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara peringkat negeri Kedah di sini, hari ini. Sidang media itu disiarkan secara langsung di laman Facebook Mukhriz Mahathir FC.
Saringan boleh dilakukan di klinik-klinik kesihatan dan hospital-hospital kerajaan dan berharap tindakan mereka itu nanti dapat menghentikan penularan wabak berkenaan di negeri ini, katanya.
Sementara itu, Mukhriz berkata pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan di negeri ini berada pada paras 87 peratus dan menyifatkan keadaan itu amat baik namun boleh ditingkatkan.
Justeru, beliau menggesa rakyat Kedah agar terus mematuhi perintah itu dengan tidak berada di luar tanpa sebarang urusan bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19.
"Masih ada 13 peratus yang bergerak merata tempat dan tidak patuhi perintah itu. Oleh itu saya sarankan supaya warga Kedah patuhi perintah ini, tidak kerap atau berlegar di luar sana tanpa urusan. Kalau ada urusan beli barangan makanan dan keperluan harian, mereka dibenarkan dan pergi ke kedai yang dituju dan terus balik selepas itu," katanya.
Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika melakukan pembelian dalam talian bagi mengelakkan ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan susulan penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini.
"Kita yang duduk di rumah ini kadang-kadang shopping online, ada juga beli topeng muka, sanitiser secara online dan buat bayaran tapi akhirnya barang tak sampai-sampai, sudah ada kes penipuan, jangan sampai tertipu oleh pihak tidak bertanggungjawab ini," katanya.
-Bernama

