Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri Dr James Masing memecat enam ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu yang dilantik, termasuk lima daripadanya yang merupakan penyokong Timbalan Presiden Datuk Sng Chee Hua.

Pemerhati politik berpendapat perkembangan terkini itu berkemungkinan mengakibatkan parti itu terjerumus ke dalam krisis besar, kurang dua tahun selepas penubuhannya berikutan pembatalan pendaftaran Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).

Mereka yang dipecat itu ialah Setiausaha Agung parti Sidi Munan, Bendahari Agung Clement Eddy, Ketua Penerangan Wilfred Nissom, Timbalan Setiausaha Agung yang juga menteri muda Larry Sng, Timbalan Ketua Penerangan Ernest Chua dan Sng Chee Beng.

Kecuali Nissom, yang merupakan Setiausaha Politik Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, anggota Majlis Tertinggi yang dipecat itu kesemuanya memihak kepada timbalan presiden parti Datuk Sng Chee Hua.

Sebelum ini, 18 penyokong Sng menganggotai MT yang mempunyi 33 ahli. Berikutan pemecatan tersebut dan perlantikan baru, maka 22 daripada ahli MT kini terdiri daripada penyokong Masing manakala 11 lagi penyokong Sng.

Dalam reaksinya, Munan berkata, tindakan Masing itu tidak mengikut perlembagaan. Mereka menerima surat pemecatan yang ditandatangani oleh Masing menerusi faks pada jam 6.30 petang semalam.

Ketika dihubungi Bernama, Munan mengesahkan beliau dan lima yang lain telah menerima surat berkenaan, tetapi tiada alasan diberikan mengapa mereka dipecat.

Mesyuarat hari ini

Sementara itu, difahamkan Masing telahpun melantik pengganti mereka, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Balai Ringin, Snowdan Lawan.

Snowdan memberitahu Bernama di ibu pejabat berdaftar PRS di Green Heights berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bahawa beliau dimaklumkan secara lisan oleh kem Masing mengenai pelantikannya ke Majlis Tertinggi.

Munan berkata ahli Majlis Tertinggi yang menyokong timbalan presiden akan mengadakan mesyuarat khas Sabtu bagi membincangkan perkembangan terbaru parti berkenaan.

Sementara itu, Nissom berkata 'apa yang berlaku harus berlaku' dan Masing dan pasukannya mesti diberi peluang untuk mentadbir parti itu.

Katanya, Munan sebagai setiausaha agung, sering mengeluarkan notis tanpa berbincang dengan presiden parti terlebih dahulu.

"Parti tidak boleh diuruskan macam itu," katanya ketika dihubungi malaysiakini semalam.

Sejak awal tahun ini, parti itu mempunyai dua ibupejabat di Kuching satu di Pending dan satu lagi di Green Height, masing-masing dikendalikan oleh dua puak dalam parti tersebut. Ibupejabat di Green Heights didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan.

Dalam pilihanraya negeri kesembilan Sarawak pada 20 Mei lalu, PRS meletakkan calon bagi sembilan kerusi dan tewas satu kerusi di Ngemah kepada calon Bebas, Gabriel Adit Demong.

Pertikaian wujud antara PRS dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) berhubung pembahagian kerusi Ngemah, yang diberikan kepada PRS tetapi Adit, selaku penyandang, menganggotai SPDP.

Adit, yang tidak mempunyai parti sebelum menyertai SPDP pada Disember tahun lalu, keluar daripada parti itu seminggu sebelum penamaan calon untuk bertanding dan menang sebagai calon Bebas di Ngemah. PRS juga mempunyai tiga anggota parlimen.