Gempa bumi: Pelajar M'sia di Yogyakarta selamat
Semua pelajar Malaysia di Yogyakarta dilaporkan selamat dalam kejadian gempa bumi yang menggegarkan kawasan yang padat penduduk di pantai selatan kepulauan Jawa pada jam 5.55 pagi tadi.
Semua pelajar Malaysia di Yogyakarta dilaporkan selamat dalam kejadian gempa bumi yang menggegarkan kawasan yang padat penduduk di pantai selatan kepulauan Jawa pada jam 5.55 pagi tadi.
Dilaporkan sekurang-kurang 300 orang terbunuh manakala beribu-ribu lagi cedera akibat gempa bumi yang kuat menggegarkan kawasan terbabit pagi ini.
Menurut pihak hospital di Yogyakarta, sekurang-kurangnya 291 mayat ditemui setakata ini, tetapi menjangka jumlahnya mungkin meningkat kerana dikhuatiri ramai yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan.
Gerak gempa pada skala 6.2 itu menggegarkan kawasan terbabit berhampiran gunung Merapi, tetapi pakar seismologi berkata, ia tidak mungkin mengakibatkan gunung berapi itu meletup.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain berkata, Kedutaan Malaysia di Jakarta sentiasa berhubung dengan para pelajar di sana, yang berjumlah 362 orang sejak gempa bumi itu berlaku.
"Maklumat yang kita peroleh setakat ini menyatakan semua mereka dalam keadaan selamat dan sesama pelajar sendiri mereka juga saling mengambil tahu mengenai rakan-rakan," katanya kepada Bernama di sini hari Sabtu.
Bantu rawat mangsa
Sementara itu, Atase Pendidikan Malaysia di Jakarta, Rosli Sakimin yang sudah menghubungi beberapa pelajar Malaysia di sana, juga diberitahu, setakat jam 11 pagi Waktu Indonesia Barat, tidak ada pelajar Malaysia yang dilaporkan menjadi mangsa, baik cedera berat atau ringan.
"Malah beberapa orang daripada mereka, yang merupakan pelajar perubatan di Universiti Gadjah Mada, dilaporkan turut memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera yang dibawa ke beberapa hospital berdekatan tempat tinggal mereka," katanya.
Sementara itu, seorang pelajar Malaysia di pondok pesantren (sekolah agama pondok) di Krinjing, Magelang, Fadzli Musa memberitahu Bernama, beliau dan tujuh lagi rakannya pelajar Malaysia di situ berada dalam keadaan selamat.
"Ketika kejadian kira-kira jam 6 pagi, kami sedang kuliah subuh di pesantren dan sebaik sahaja merasakan gempa yang begitu kuat, kami segera meninggalkan bangunan ke kawasan lapang," katanya.
Menurutnya mereka merasakan goncangan yang kuat sebanyak tiga kali termasuk dua kali gempa susulan kira-kira jam 7 pagi dan jam 10.15 pagi.
"Saya juga sudah cuba menghubungi beberapa rakan lain di Yogyakarta tetapi sehingga kini belum dapat kerana sebahagian prasarana telekomunikasi di wilayah ini dilaporkan rosak akibat gempa itu," katanya.
Fadzli berkata keadaan keseluruhan di Krinjing kelihatan tenang sahaja dan kerosakan pada bangunan termasuk rumah penduduk hanya kecil.

