Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Arahan 'mesti' pakai penutup mulut DBKL ditukar jadi 'digalakkan'
Diterbitkan:  Mar 24, 2020 2:26 PM
Dikemaskini: 6:26 AM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menukar arahannya yang mensyaratkan orang ramai mesti memakai penutup mulut dan hidung sekiranya ingin memasuki pasaraya, kedai runcit, restoran dan pasar awam/swasta yang di bawah bidang kuasanya.

Notis arahan pematuhan baru yang dimuat naik di laman Facebook DBKL kini mengatakan orang ramai "digalakkan" memakai penutup apabila di premis ini.

"Semua pelesen, pekerja, pengunjung, pembeli dan pembekal digalakkan memakai face mask.

"Sehubungan itu, notis arahan pematuhan (sebelum ini) bertarikh 22 Mac, adalah dibatalkan," petik notis baru itu.

Selain itu, DBKL juga menggalakkan orang ramai yang berkunjung ke premis tersebut untuk menggunakan sanitizer atau cecair pembasmi kuman.

Pada 22 Mac lalu, DBKL mengeluarkan notis arahan pematuhan untuk membimbing orang ramai tentang cara mengamalkan penjarakkan sosial (social distancing) semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Susulan notis itu, orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati selepas pasaraya, kedai runcit dan makanan melarang pelanggan yang tidak memakai penutup mulut daripada memasuki premis berrkenaan sedangkan bekalan topeng di pasaran adalah tidak mencukupi.

Arahan bertarikh 22 Mac oleh DBKL itu juga tidak selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai pemakaian penutup mulut dan hidung.

Menurut KKM, hanya mereka yang mempunyai simptom atau gejala seperti batuk dan selesema harus memakai penutup muka.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata keutamaan memakai penutup muka harus dikhaskan untuk mereka yang bekerja di barisan hadapan untuk memerangi Covid 19.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS