Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sedang memantau perkembagan mereka yang menghadiri perayaan Hindu yang dikenali sebagai Masi Magam Theppa Thirunal di Teluk Bahang pada 8 Mac lalu, sebelum Covid-19 diumumkan sebagai pandemik, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Menurutnya, jabatan itu tidak akan teragak-agak untuk mesyaratkan peserta yang didakwa berjumlah puluhan ribu supaya menjalani ujian saringan berkenaan.
"Tetapi setakat ini, tidak ada kes positif yang dilaporkan dari acara itu," kata Chow pada sidang akhbar hari ini.
Beliau ditanya sama ada penganut-penganut Hindu yang menghadiri acara itu sudah menjalani ujian saringan untuk Covid-19.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Penang Hindu Endowment Board (PHEB), P Ramasamy mempertikaikan jumlah 30,000 penganut yang dikatakan menghadiri perayaan atau pesta terapung yang diadakan di Kuil Sri Singamuga Kaliamman yang berusia 123 tahun di Teluk Bahang itu.
Katanya, jumlah yang diberikan itu adalah "keterlaluan".
"Saya percaya bilangan 30,000 penganut yang dilaporkan dibesar-besarkan," kata Ramasamy, yang juga adalah timbalan ketua menteri.
Malah katanya, kuil di Teluk Bahang itu bukan di bawah bidang kuasa PHEB, sambil menambah bahawa semua kuil di bawah PHEB telah diberi arahan supaya untuk menggantung atau menangguhkan majlis mereka.
Setakat jam 5 petang semalam, Malaysia mencatatkan 1,518 kes positif Covid-19 dengan 15 kematian.
