Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Senaman 'live' di media sosial, bantu orang ramai kekal cergas

Meskipun pelbagai aktiviti luar terbatas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sehingga 31 Mac ini, namun ia bukanlah alasan rakyat Malaysia untuk berhenti mengamalkan gaya hidup sihat.

Menerusi kemudahan internet, orang ramai kini boleh bersenam di rumah masing-masing bersama jurulatih kecergasan secara langsung dan percuma dalam talian menerusi aplikasi Instagram dan Facebook.

Jurulatih kecergasan Kevin Zahri berkata, beliau bersama hampir 30 jurulatih kecergasan seluruh negara baru-baru ini memperkenalkan inisiatif #covid19homeworkout iaitu 'kelas' senaman dalam talian untuk mengajak dan membantu jutaan rakyat tempatan sama-sama kekal aktif, cergas dan sihat ketika di rumah selama 14 hari.

"Ketika PKP ini, pergerakan terhad secara langsung akan kurangkan pembakaran kalori, menambahkan berat badan serta rasa bosan di rumah.

"Inisiatif ini juga dapat membantu mereka melepaskan tekanan melakukan senaman yang berkualiti di samping membantu mengekalkan dan meningkatkan sistem imunisasi seseorang," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sepanjang tempoh PKP yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lepas, kerajaan melarang sebarang aktiviti sukan di luar premis bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19, bagaimanapun Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai terus mengamalkan senaman ringan di rumah untuk kekal cergas dalam tempoh sekatan itu.

Sementara itu, jurulatih kecergasan bebas Mohd Faiz Othman berkata konsep sihat dan cergas iaitu dengan mengamalkan pemakanan seimbang serta bersenam tiga kali seminggu sesuai diamalkan ketika tempoh PKP.

Beliau berkata dalam tempoh itu, pemilihan latihan tanpa alatan atau bebanan tambahan paling sesuai dan mudah dilakukan di rumah, malah rutin senaman itu bersifat menyeluruh yang merangkumi pelbagai komponen kesihatan dan kecergasan tubuh badan.

Antara rutin latihan yang boleh diamalkan adalah seperti berlari setempat, tekan tubi, bangun tubi, lompat setempat, dan regangan, malah senaman kardio seperti senamrobik juga digalakkan namun bergantung kepada kesesuaian kawasan dalam rumah.

"Skop latihan pula sebaiknya meliputi aspek kardiovaskular (jantung), kekuatan otot dan daya tahan otot. Lakukan latihan yang berintensiti rendah terlebih dahulu untuk mengelakkan badan terkejut dan mengurangkan risiko kecederaan selain menjadikan kita lebih konsisten," katanya.

Tambahnya, bersenam bukan sahaja dapat meningkatkan sistem ketahanan badan tetapi dapat mengurangi kadar tekanan malah aktiviti itu boleh dilakukan bersama keluarga.

Bagi ketua jurulatih pasukan kecergasan dalam talian 'GetFitNowOnline' Muhammad Syairiezuwan Aizat Alias, mencadangkan setiap individu membuat jadual makan harian dan jadual senaman sepanjang tempoh PKP.

"Kita perlu ada jadual makan harian yang seimbang, kurangkan pengambilan makanan bergaram, berlemak dan berminyak. Pilihan terbaik masak sendiri di rumah," katanya.

Tambahnya, waktu pemakanan yang sesuai juga wajar diamalkan iaitu waktu sarapan bermula 6.00pagi hingga 10 pagi, makan tengah hari pukul 1.00 tengah hari hingga 3.00 petang dan makan malam dari 6.00 petang hingga 8.00 malam.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS