Terjemahan Seorang wakil Badan Pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil (Mafrel) telah menerima ugutan melalui panggilan telefon dan ugutan bunuh melalui SMS.

Lawrance Gamjap, 38, wakil Mafrel bagi kerusi N1 Opar dan N 2 Tasik Biru menerima panggilan telefon dan SMS itu pada 24 Mei lalu.

Beliau percayai ugutan tersebut ada kaitan dengan laporan polis yang dibuat oleh 12 pengundi di Opar pada 16 Mei lalu berhubung dakwaan membeli undi.

Gamjap membuat laporan polis terhadap ugutan tersebut hari ini. Beliau ditemani oleh Pengerusi Mafrel, Abdul Malek Hussin.

Menurutnya, SMS itu juga membayangkan ibunya yang sudah lanjut umur, juga mungkin dicederakan.

Mengulas mengenainya, Abdul Malek berkata, perkara itu amat serius dan pihak polis perlu menjalankan siasatan untuk mengesan siapakah di sebalik ugutan tersebut.

Petisyen pilihanraya

Sementara itu, sekumpulan lima orang pengundi kaum Iban di Balai, membuat laporan polis berhubung dakwaan pembelian undi sewaktu pilihanraya negeri Sarawak pada 29 Mei lalu.

Mereka ditemani oleh calon SNAP yang tewas di kerusi Balai, Ringin Ibi Udin. Abdul Malik hadir sama.

Lima pengadu tersebut ialah Mail ak Surek, 46, Kemenden ak Mo, 38, dan Sana ak Kalang, 30, dari Pantu serta Ampet Raweng, 59, dan Banyng Gelum, 63, dari Serian.

Abdul Malek memberitahu malaysiakini, beliau telah ditemui beberapa orang calon dan penyokong mereka yang mahu membuat laporan polis atau memfailkan petisyen pilihanraya terhadap calon Barisan Nasional (BN) yang menang.

Calon pembangkang bagi kreusi Ba'kelalan, Baru Bian memberitahu malaysiakini, beliau akan memfailkan petisyen pilihanraya bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa kemenangan calon BN adalah tidak sah kerana berlakunya politik wang dalam bentuk pengagihan gran kerajaan dalam tempoh kempen pilihanraya.

"Kemungkinan tiga petisyen pilihanraya akan difailkan atas sebab yang sama," kata Baru. Berita asal