Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ada cadangan supaya kempen terbuka dibenarkan sewaktu pemilihan parti itu dibenarkan kerana Umno sebuah parti yang demokratik.

"Saya cenderong untuk menyatakan elok dibenarkan tapi bentuk kempen yang terkawal, terurus iaitu dapat diuruskan oleh badan perhubungan sahaja, bukan dibuat oleh masing-masing atau pun diurus atas nama bahagian sahaja atau pun di peringkat nasional sahaja, dalam keadaan dan masa-masa tertentu sahaja," katanya.

Tambah beliau, ini akan memberi peluang kepada ahli yang hendak bertanding itu memperkenalkan diri, merapat diri dengan pemilih ataupun perwakilan dan sebagainya, tetapi tidak dibuat secara bebas dengan susunan sendiri.

Kesimpulannya, kata beliau, bentuk kempen adalah terhad, dikawal dan diurus.

"Ini cadangan kita di peringkat Jawatankuasa Pengurus Perlembagaan dan Peraturan. Kita belum bawa pada pengurusan dan belum lagi dibawa Majlis Tertinggi," katanya selepas merasmikan kursus kepimpinan Puteri Umno di Kem Bina Negara, Ulu Sepri, dekat Rembau hari ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan, yang juga Menteri Pertanian, turut mengingatkan pimpinan Umno supaya berhati-hati dalam perilaku mereka atau dalam mengelolakan program parti yang boleh disalah anggap sebagai usaha untuk menarik sokongan dan sebagainya, sedangkan pemilihan Umno lambat lagi.

Oleh itu, katanya, semua kegiatan hendaklah dibuat atas dasar keputusan rasmi dan setelah mendapat restu di peringkat pergerakan, badan atau pun bahagian masing-masing dan bukan atas inisiatif nama ketua bahagian sahaja atau pun pimpinan Pemuda, Wanita dan Puteri sahaja.

Meraih sokongan

"Jadi, itu tidak akan menimbulkan tohmah atau pun anggapan yang boleh memfitnah atau disalah anggap sebagai ini amalan hendak meraih sokongan atau pelaburan jangka panjang.

"Macam-macam caralah dan saya fikir sudah ada kecenderungan begitu iaitu ada yang hendak mengadakan mesyuarat di luar negeri iaitu di tempat lain, menganjurkan lawatan sambil belajar dan sebagainya..

"Kita harap ini bukan fenomena mengarah kepada pemilihan, tetapi ada sesetengah pihak mengandaikan pemilihan tidak lama lagi, jadi mereka sudah mula merancang.

"Jadi saya fikir elok kita bagi sedikit pandangan dan nasihat supaya berhati-hati iaitu apapun yang hendak dibuat sudah diputuskan oleh bahagian manakala bahagian pula hendaklah menimbangkan dengan mengambil kira, apa pandangan umum...sama ada langkah kita itu membantu atau pun langkah kita dilihat sebagai satu perkara yang mungkin tidak berapa sesuai," katanya.

Menurutnya apabila pemilihan Umno belum pasti lagi kerana hanya Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan memutuskannya.

Oleh itu, katanya, mungkin pihak tertentu sudah membuat perkiraan untuk bersiap sedia menghadapi pemilihan tersebut.

"Tapi kita tidak kata jangan buat apa-apa kegiatan atau aktiviti, nanti masalah pula. Bagaimanapun jika hendak buat maka hendaklah dilakukan dengan tertib dan mengikut saluran dibenarkan," katanya.