Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Segera ke hospital untuk peluang sembuh lebih tinggi, kata Noor Hisham

Mereka yang memiliki gejala wabak Covid-19, termasuk sukar bernafas, perlu ke hospital di peringkat awal agar peluang survival yang lebih baik, kata Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah.

Ketika sidang media di Putrajaya hari ini, beliau berkata salah satu punca utama 15 kematian berkaitan Covid-19 di malaysia ialah kerana mangsa pergi mendapatkan rawatan ketika mereka tidak lagi di peringkat awal jangkitan wabak itu.

Noor Hisham berkata, jangkitan Covid-19 ada lima peringkat, dengan mereka di tahap 3 menunjukkan mengalami pneumonia sementara mereka di tahap 4 pula sudah mengalami kesukaran bernafas dan memerlukan bantuan oksigen.

Tahap 5 pula, katanya lagi, adalah apabila pesakit tidak lagi bernafas dengan baik dan perlu dimasukkan tiub dan memerlukan sokongan ventilator.

"Ramai yang datang kepada kami ketika di tahap 3, apabila mereka sudah mengalami kesukaran bernafas. Misalnya, pesakit terakhir (yang meninggal dunia) datang selepas mengalami gejala sukar bernafas selama tiga hari dan memerlukan bantuan oksigen.

"Ini salah satu faktor kepada kadar kematian, kerana bertangguh ke hospital," katanya lagi.

Tahap 1 adalah di mana pesakit didapati positif tetapi tidak menunjukkan apa-apa gejala, manakala Tahap 2 adalah pesakit yang positif yang menunjukkan gejala di tahap rendah.

'Bantu jemaah Tabligh, jangan jadikan stigma'

Setakat ini, Malaysia merekodkan 1,624 kes positif, dengan 15 kematian.

Daripada 15 korban, sebanyak sembilan yang meninggal dunia mempunyai kaitan dengan kluster himpunan Tabligh di Masjid Seri Petaling Kuala Lumpur, akhir bulan lalu.

Nor Hisham berkata, kebanyakan pesakit dari kluster itu yang meninggal dunia mendapatkan rawatan setelah tidak lagi berada di tahap awal.

Beliau juga menjelaskan ada juga faktor lain terhadap kadar kematian berkaitan Covid-19, dengan beberapa pesakit turut mempunyai penyakit lain (comorbidity) dan penyakit tidak berjangkit.

Usia tua satu lagi faktor yang meningkatkan risiko kematian dalam jangkitan wabak itu.

Beliau berkata kebanyakan yang meninggal dunia berusia lebih 70 tahun.

Sementara itu, berhubung himpunan Tabligh yang menjadi kluster terbesar dengan 986 kes, atau 60 peratus daripada keseluruhan kes, Noor Hisham menegaskan agar orang ramai tidak menjadikan golongan itu sebagai stigma.

"Jangan salahkan jemaah Tabligh, jangan diskriminasikan, jangan stigmakan.

"Apa yang penting ialah bantu kawal (penularan) di kalangan mereka dan kontak mereka," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS