Miti tetapkan hari ini tarikh akhir permohonan kilang nak terus operasi
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) telah menetapkan tarikh akhir untuk syarikat menghantar permohonan bagi meneruskan operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang jatuh pada 24 Mac 2020, jam 11.59 malam.
Dalam kenyataan hari ini, Miti berkata penetapan tarikh akhir itu untuk memastikan permohonan syarikat yang diterima dapat diproses pada kadar segera dan Miti akan memberi fokus untuk menyaring ribuan permohonan yang diterima selepas tarikh akhir ini.
Katanya sebuah Jawatankuasa Khas yang akan diketuai Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali telah ditubuhkan untuk memastikan kelangsungan bekalan produk keperluan asas kepada rakyat Malaysia.
Jawatankuasa Khas itu turut disertai Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.
“Bagi memastikan bekalan keperluan asas ini terjamin, permohonan syarikat meliputi makanan, minuman, ubat-ubatan, peranti perubatan termasuk ventilator, picagari, peralatan perlindungan diri (PPE) iaitu topeng muka, sarung tangan perubatan, termometer, kit kecemasan, barangan penjagaan diri seperti sabun pencuci, bahan pembersih diri, syampu dan cecair pembasmi kuman diluluskan.
“Sejak permulaan tarikh permohonan syarikat untuk meneruskan operasi pada 19 Mac 2020, sektor yang telah diluluskan kerajaan untuk meneruskan operasi terdiri daripada sektor pembuatan dan pengeluaran barangan keperluan umum yang dikategorikan penting dan kritikal,” katanya.
Antara kategori tersebut termasuklah makanan dan minuman; produk barangan rumah (termasuk cecair pembasmi kuman tangan); peralatan perlindungan peribadi (termasuk topeng muka); farmaseutikal; bahan pembungkusan dan percetakan, khususnya untuk industri makanan dan minuman; peranti perubatan dan pembedahan; serta minyak dan gas.
Semua permohonan syarikat dilakukan secara dalam talian, emel dan laman sesawang Miti.
“Syarikat yang memohon perlu mengikut syarat-syarat yang disenaraikan antaranya syarikat diwajibkan untuk menetapkan jumlah pekerja yang bertugas berada pada tahap minimum; pengeluaran produk/hasil syarikat memberi keutamaan kepada pasaran tempatan; dan syarikat juga perlu melaksanakan garis panduan dan prosedur pencegahan Covid-19 seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
“Antara punca permohonan ditolak ialah syarikat yang memohon bukan dikategorikan dalam sektor yang penting dan kritikal; syarikat mengemukakan maklumat yang tidak lengkap atau tidak tepat; dan syarikat tidak mengemukakan pengurangan jumlah tenaga kerja kepada tahap minimum atau sekurang-kurangnya 50 peratus seperti yang ditetapkan oleh kerajaan,” menurut Miti.
-Bernama

