Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengarah C4 kesal dituduh sembunyi status positif Covid-19
Diterbitkan:  Mar 25, 2020 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Pengarah Eksekutif Pusat Bagi Memerangi Rasuah dan Kroni (C4), Cynthia Gabriel menafikan beliau dan suaminya menyembunyikan fakta bahawa mereka diuji positif Covid-19.

Pada awalnya, kata Gabriel, beliau mahu mengabaikan tuduhan tersebut tetapi tidak ada pilihan melainkan menyuarakan penafian terhadap dakwaan yang tersebar itu.

"Ini jelas dibuat dengan tujuan untuk menipu. Tuduhan ini mala fide (berniat jahat).

"(Ini memang) gaya biasa dia (Raja Petra Kamaruddin), dan kali ini mengenai masalah kesihatan peribadi saya. Seburuk apa lagi hal ini akan dibawa?

"Bagi mereka yang prihatin dan benar-benar ingin tahu: Saya baik, saya asimptomatik (tidak menunjukkan gejala), dikuarantin di rumah dan menjaga diri saya sendiri.

"Sudah tentu, pembenci di sana tidak akan membiarkan saya!" katanya pada hantaran di Facebook.

Gabriel mengulas artikel yang diterbitkan pada Free Malaysia Today (FMT) semalam, tetapi telah diterbitkan semula di laman web Raja Petra, Malaysia Today dengan tajuk baru yang menyebut namanya.

Artikel asal FMT tidak menyebut nama Gabriel atau pasangannya.

Laporan itu memetik seorang pemimpin NGO yang tidak dinamakan menuduh Gabriel dan suaminya menyembunyikan fakta bahawa mereka telah dimasukkan ke hospital kerana Covid-19, yang boleh menimbulkan risiko kepada orang di sekeliling mereka.

Selanjutnya, artikel itu mendakwa pasangan berkenaan hanya mendedahkan perkara tersebut dalam perbualan peribadi.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Dr Noor Azmi Ghazali (gambar, atas) dipetik FMT dalam laporan sama menyifatkan "mana-mana pihak termasuk tokoh masyarakat atau VIP yang bertindak menyembunyikan identiti selepas dijangkiti Covid-19 sebagai tidak bertanggungjawab kerana ia menyukarkan usaha membendung penularan wabak."

“Malah ramai yang akan terkena jangkitan kalau mereka tidak ‘isolate’,” katanya

Walau bagaimanapun, Gabriel menjelaskan suaminya, Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph telah memaklumkan rakan dan keluarganya apabila mengetahui bahawa dirinya telah dijangkiti.

Kata Gabriel lagi, hal yang sama dilakukannya apabila keputusan ujiannya dikeluarkan dan beliau dimasukkan ke wad hospital.

"Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan surat kuarantin yang sewajarnya kepada orang-orang yang relevan yang saya ada kontak dan yang orang dinilai pihak perubatan perlu untuk menjalani kuarantin.

"Sudah tentu, Raja Petra dengan mudah akan membuang bahagian mesej yang saya juga memaklumkan kepada orang yang sama bahawa dua ujian saya yang seterusnya adalah negatif. Oleh demikian, kementerian telah mengesahkan saya bebas penyakit itu," jelasnya lagi.

Untuk rekod, garis panduan Kementerian Kesihatan memerlukan orang diuji positif Covid-19 untuk dimasukkan ke hospital tanpa mengira sama ada mereka menunjukkan gejala atau tidak.

Kakitangan Kementerian Kesihatan kemudiannya akan mengesan dan menguji orang-orang yang pernah ada kontak rapat pesakit. Mereka akan diarahkan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari dan akan diperiksa dengan kerap oleh pegawai kesihatan.

Orang yang dikuarantin di rumah akan dimasukkan ke hospital jika mereka menunjukkan gejala Covid-19, diuji positif virus itu, atau jika persekitaran rumah mereka tidak sesuai untuk kuarantin.

Lihat Komen
ADS