Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Tangguh bayaran pinjaman bank babitkan RM100 bilion
Diterbitkan:  Mar 25, 2020 10:21 AM
Dikemaskini: 2:24 AM

Moratorium atau penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan pinjaman bank, penyusunan semula baki kad kredit dan pinjam korporat membabitkan jumlah  R100 bilion, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas melakukan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara (BNM).

"Ini adalah penting untuk membolehkan syarikat-syarikat terus berkemampuan untuk mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing.

"Ini merupakan satu jumlah yang amat bermakna, dan saya amat berterima kasih di atas keperihatinan Kementerian Kewangan, BNM serta industri perbankan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan bank-bank diarahkan untuk menangguhkan selama enam bulan bayaran balik hutang peminjam untuk semua pinjaman dan bayaran kewangan, kecuali untuk baki kad kredit, bermula 1 April.

Dalam surat kepada semua institusi perbankan, Timbalan Gabenor Bank Negara Jessica Chew berkata matlamat langkah tersebut untuk mengurangkan beban kewangan perusahaan kecil dan sederhana serta individu akibat wabak Covid-19.

Untuk layak menerima kemudahan ini, pemberi pinjaman tidak boleh ada bayaran tertunggak melebihi 90 hari sebelum 1 April dan pinjaman tersebut mesti dalam bentuk mata wang ringgit.

Bank diarahkan menyediakan pemberi pinjaman dengan maklumat yang mencukupi mengenai bagaimana pembayaran balik pinjaman yang digantung akan dikendalikan semasa tempoh penangguhan dan pilihan bagi peminjam untuk meneruskan pembayaran selepas itu.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), kerajaan sedang mengkaji pelbagai cara untuk mengurangkan beban rakyat.

Katanya, satu lagi pelan rangsangan ekonomi akan dilancarkan tidak lama lagi yang lebih komprehensif dan bermakna demi rakyat dan ekonomi negara.

"Saya sedar bahawa impak wabak Covid-19 ini bukan hanya menimbulkan keresahan dari segi kesihatan dan kesejahteraan, tetapi Perintah Kawalan Pergerakan ini juga menimbulkan keresahan rakyat dari segi kewangan.

"Rakyat pelbagai lapisan sama ada usahawan, petani, nelayan, pekerja harian tertanya-tanya akan kedudukan ekonomi mereka.

"Saya telahpun meminta Kementerian Kewangan dan BNM untuk memperincikan pengumuman ini dengan lebih mendalam agar rakyat memahami sepenuhnya manfaat yang dtawarkan," katanya.

Lihat Komen
ADS