Doa Muhyiddin buat Malaysia
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mencetuskan rasa hiba pada akhir ucapannya mengenangkan nasib rakyat dan negara yang ketika ini dilanda wabak Covid-19.
Dalam perutusan khas hari ini, Muhyiddin mengakhiri ucapannya dengan membaca doa memohon perlindungan daripada Allah buat seluruh rakyat Malaysia.
"Saya sedar, sebagai perdana menteri, saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan saudara-saudari. Ini amanah yang saya pikul.
"Sebagai manusia saya tidak sempurna, tetapi saya berjanji akan melakukan yang terbaik. Insya-Allah, dengan izin Allah SWT kita akan dapat bersama-sama mengharungi dugaan besar ini," katanya.
Sebelum itu Muhyiddin mengumumkan perintah kawalan pergerakan yang bermula 18 Mac lalu dan dijadual tamat pada 31 Mac akan dilanjutkan sehingga 14 April.
Sehingga kini Malaysia mencatat 17 kematian akibat Covid-19 dengan jumlah kes sebanyak 1,624.
Dalam ucapannya juga Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kepada anggota polis dan tentera yang bertugas di lapangan.
"Kepada petugas-petugas di barisan hadapan, saya doakan saudara-saudari terus cekal. Situasi yang dihadapi oleh saudara-saudari bukan mudah.
"Saya tahu para doktor, jururawat dan kakitangan hospital amat keletihan pada masa ini," katanya.
Beliau meminta barisan hadapan ini supaya menjaga kesihatan dan terus cekal berkhidmat untuk negara selain mengajak rakyat Malaysia untuk terus berdoa.
"Jangan kita lupa, penentu kejayaan kita ialah Tuhan Yang Maha Kuasa. Justeru, saya ingin mengajak saudara-saudari sekalian menadah tangan memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar diri kita, keluarga kita, negara kita dan seluruh umat manusia dilindungi oleh-Nya.
"Kepada penganut agama bukan Islam, saudara-saudari bertafakkur dan berdoalah mengikut ajaran agama masing-masing," katanya.
Berikut petikan doa dibacakan Muhyiddin:
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Engkau ampunilah dosa-doa kami
Engkau rahmatilah diri kami, keluarga kami dan negara kami.
Engkau lindungilah hamba-hamba Mu yang kerdil ini dari segala musibah.
Engkau jauhilah diri kami dari penyakit yang merbahaya dan wabak yang mengancam nyawa.
Engkau hindarilah kami dari bala yang berat dan takdir yang buruk.
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Engkau berilah kekuatan, kecekalan dan kesabaran kepada kami untuk menghadapi dugaan-Mu yang berat ini.
Engkau tiupkanlah ketenangan dalam jiwa kami, sesungguhnya setiap dugaan yang engkau turunkan kepada kami ya Allah tiadalah ia melainkan untuk meningkatkan ketakwaan dan keimanan kami kepada Mu.
Ya Allah Ya Rahman Ya Syaafi
Engkau berilah kesembuhan kepada saudara-saudara kami yang dijangkiti wabak Coronavirus walau di mana sahaja mereka berada.
Sesungguhnya tiada penyakit yang tidak dapat Engkau sembuhkan Ya Allah.
Tiada mara bahaya yang tidak dapat Engkau jauhinya dari kami ya Allah.
Kami bermohon kepada-Mu ya Allah.
Lindungilah kami, selamatkanlah kami, sejahterakanlah hidup kami.

