Kita berperang dengan musuh tak dapat dilihat - KJ
Lanjutan tempoh Perintah Kawalan pergerakan (PKP) sehingga 14 April bukan keputusan mudah, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.
"Sudah pasti ini akan membebankan rakyat. Namun segala fakta kesihatan, sains dan epidemiologi menuntut agar ia dialanjutkan untuk meratakan lengkung jangkitan," katanya menerusi Twitter.
Khairy juga menegaskan bahawa negara sedang berperang dengan musuh yang tidak dapat dilihat, yang mendorong banyak negara melaksanakan perintah berkurung atau lebih ketat.
"Masa untuk berperang memerlukan pengorbanan yang luar biasa.
"Sekiranya penyebaran jangkitan tidak dibendung, kita mungkin tidak mempunyai peralatan kesihatan yang mencukupi seperti ventilator dan katil di unit rawatan rapi untuk merawat pesakit," katanya petang ini.
Menteri itu berkata jika PKP, yang bermula pada 18 Mac dan dijadualkan berakhir pada 31 Mac, tidak dilanjutkan, pengorbanan rakyat selama dua minggu yang lalu akan menjadi sia-sia.
Merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengenai pakej rangsangan yang lebih komprehensif, Khairy memberi jaminan bahawa kerajaan akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu rakyat dalam tempoh kesulitan ekonomi ini.
Menteri itu berkata , Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah menubuhkan 10 makmal diagnostik tambahan di institusi pengajian tinggi dan hospital universiti.
Selain itu kata Khairy, makmal mudah alih juga akan diwujudkan di kawasan hotspot.
Terdahulu, menerusi siaran secara langsung di televisyen, Muhyiddin mengumumkan lanjutan PKP dan memberitahu bahawa 172 kes baru Covid-19 direkodkan pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,796 kes.
Malaysia juga mencatatkan 17 kematian akibat Covid-19 setakat ini.
Perdana Menteri berkata berdasarkan taklimat dari Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, kerajaan menjangkakan trend menaik akan berterusan.
Tambahnya, kerajaan juga tempoh kuat kuasa PKP akan dikaji dari semasa ke semasa jika ada keperluan untuk dilanjutkan lagi selepas 14 April.
"Harap tenang dan jangan panik. Walaupun kami telah menyambunkan perintah kawalan pergerakan, anda tidak perlu simpan makanan secara berlebihan kerana bekalannya mencukupi.
"Saya memberi jaminan bahawa makanan sudah cukup untuk semua orang," katanya.

