Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Salahuddin bimbang kesan lanjutan PKP kepada golongan gaji harian
Diterbitkan:  Mar 25, 2020 4:55 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub menyuarakan kebimbangan terhadap golongan yang bersandarkan gaji harian, susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan hari ini.

Salahuddin berkata beliau menerima banyak aduan daripada golongan tersebut yang terjejas sepanjang fasa pertama PKP.

"Sebagai wakil rakyat, kami telah membantu dengan sebaik mungkin termasuk menggunakan baki bantuan yang ada untuk memberikan bekalan makanan kepada mereka yang sangat memerlukan semasa PKP.

"Tetapi walaupun belum sampai 31 Mac atau fasa pertama PKP, saya telah menerima banyak aduan daripada mereka yang hanya bersandarkan gaji harian atau mereka yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata golongan itu termasuklah mereka dalam bidang pertanian seperti petani, nelayan, penternak serta peniaga kecil.

Hari ini Muhyiddin mengumumkan PKP akan dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Pengumuman itu selepas taklimat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara yang menunjukkan kes positif Covid-19 yang baru masih berlaku.

Salahuddin yang merupakan timbalan presiden Amanah menggesa agar Muhyiddin meneliti keadaan golongan itu, yang disifatkan sebagai paling berisiko terjejas, dan merangka satu "pelan operasi khas" bagi membantu mereka.

"Adakah kerajaan mempunyai pangkalan data yang lengkap dengan senarai mereka yang benar-benar fakir dan miskin serta mereka yang mengharapkan gaji harian dan tidak mempunyai simpanan?

"Saya sangat bimbang golongan ini akan menghadapi ancaman kebuluran jika tidak ditangani secara tuntas," katanya lagi.

Dalam pengumuman hari ini, Muhyiddin memberi jaminan bahawa bekalan makanan sudah cukup untuk semua orang bagi mengharungi tempoh PKP ini.

Beliau juga berkata satu pakej rangsangan baru akan diumumkan bagi merancakkan ekonomi negara yang menurutnya tidak akan mengabaikan mana-mana golongan.

Lihat Komen
ADS